48 Rohingya ditahan di luar pesisir Myanmar

PATHEIN, MYANMAR, 14 FEB – Hampir 50 Rohingya Muslim ditahan di pesisir pantai oleh tentera laut Myanmar, kata seorang pegawai tempatan hari ini, satu lagi siri terbaharu dalam penahanan minoriti yang cuba melarikan diri daripada penempatan mereka di kem Bangladesh dan Rakhine.

Bagaimanapun, masih tidak jelas dari mana minoriti itu memulakan perjalanan mereka, tetapi mereka dipercayai akan menuju Malaysia atau Indonesia, negara-negara yang majoritinya Muslim.

Beribu-ribu Rohingya telah mengembara melalui lautan selama bertahun-tahun dalam percubaan berisiko tinggi untuk melepaskan diri mereka daripada penempatan kem pelarian yang luas di Bangladesh dan penindasan di Rakhine.

Pentadbir kampung Myint Thein memberitahu AFP melalui telefon bahawa tentera laut telah menahan 48 lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya, serta lima pembawa bot di laut pada petang Rabu.

Wartawan AFP menyaksikan kumpulan itu tiba pagi hari ini di balai polis bandar Pathein.

“Kami tidak tahu bagaimana pihak berkuasa di bandar Pathein itu akan menguruskan minoriti itu,” kata Myint Thein.

Seramai 740,000 Rohingya melarikan diri dari Rakhine Myanmar ke Bangladesh untuk membebaskan diri daripada tindakan keras dan kekejaman tentera pada tahun 2017.

Ratusan ribu orang masih berada di Rakhine, yang tinggal di bawah sekatan yang ketat dengan akses yang kecil kepada penjagaan kesihatan, pendidikan atau mata pencarian dalam apa yang dianggap oleh Amnesty International sebagai ‘apartheid’. – AFP