48 tablet untuk pelajar memerlukan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Kementerian Pendidikan, hari ini, telah menerima sebanyak 48 tablet untuk diedarkan kepada pelajar yang memerlukannya bagi memudahkan pembelajaran dalam talian sejak sekolah dalam talian mula berkuat kuasa awal
bulan ini.

Sumbangan yang bernilai $36,906 keseluruhannya itu adalah hasil kutipan daripada orang ramai dan 13 penaja korporat sejak Julai 2020 menerusi kempen sumbangan dinamakan Goals for Education yang dilaksanakan oleh Dynamik Technologies dan Progresif Sdn Bhd.

Penyerahan tablet-tablet berkenaan telah diadakan secara maya yang dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Dynamik Technologies dan Progresif,
kempen sumbangan berkenaan merupakan kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan yang dilancarkan tahun lalu apabila sekolah-sekolah ditutup disebabkan wabak COVID-19.
Kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan seluruh negara kedua-dua syarikat berkenaan yang bertujuan untuk menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian dan pelajar yang memerlukan peranti ICT di seluruh negara.

Kempen pertama bermula dengan Cabaran 555 dan 1Co yang mana kedua-duanya merupakan cabaran media sosial yang mendorong orang ramai dan syarikat masing-masing untuk mencatat diri mereka menjaringkan lima gol, tag lima rakan sebaya dan menyumbang melalui BIBD Online atau Progresif Pay untuk meningkatkan kesedaran dan dana untuk
kempen.

Dr Haji Azman, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati, Dayang Haslina dan Hajah Nurul Haniah bersama antara yang hadir semasa majlis penyampaian tablet berkenaan secara maya. – Gambar serahan Progresif

Dayang Haslina dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Di Dynamik Technologies, kami percaya dalam memperkasa belia melalui teknologi kerana mereka adalah masa depan negara.

“Kami berharap kita selaku komuniti dapat terus menyokong mewujudkan akses yang saksama terhadap peranti digital sekali gus membantu mereka yang menghadapi cabaran dalam pembelajaran dalam talian.

“Walaupun setelah kita melepasi wabak COVID-19, pelajar ini akan terus mendapat akses ke dunia luar secara digital,” tambah beliau.

Beliau seterusnya berkata, “Berikutan kemunculan semula kes COVID-19 aktif di negara ini, kita kini mesti bekerjasama untuk menyokong inisiatif ini, tidak kira seberapa besar atau sedikit sumbangannya, ia akan terus memastikan belia negara dapat memperluas pendidikan mereka.”

Kenyataan menyatakan, Goals for Education akan terus mengumpulkan dana secara aktif untuk lebih banyak peranti ICT dan dengan gelombang kedua COVID-19 di negara ini, masih ramai pelajar yang memerlukan akses kepada peranti ICT untuk menjalankan pembelajaran dalam talian.