480,000 maut akibat cuaca melampau

PARIS, 25 JAN – Hampir setengah juta orang telah meninggal dunia dalam bencana semula jadi yang dikaitkan dengan cuaca melampau dalam tempoh 20 tahun lalu, menurut penilaian baharu mengenai ancaman ditimbulkan kepada manusia akibat perubahan iklim.

Kematian berkaitan iklim seperti ribut, banjir dan gelombang haba kebanyakannya dilihat berlaku di negara membangun.

Pada awal Sidang Kemuncak Penyesuaian Iklim, diadakan secara maya pada tahun ini disebabkan pandemik, kumpulan pemikir Germanwatch meramalkan bencana berkenaan telah menelan kos AS$2.56 trilion untuk ekonomi global pada abad ini. Satu analisis lebih daripada 11,000 peristiwa cuaca melampau menunjukkan hampir 480,000 kematian dicatat sejak 2000, dengan Puerto Rico, Myanmar dan Haiti negara paling teruk terjejas, katanya.

Di bawah perjanjian iklim 2015, negara lebih kaya sepatutnya memperuntukkan AS$100 bilion setiap tahun untuk membantu negara miskin mengurangkan kenaikan suhu dan menyesuaikannya dengan perubahan iklim.

Namun penyelidikan terbaharu mencadangkan jumlah pembiayaan sebenar yang disediakan kepada negara membangun untuk tindakan iklim adalah jauh lebih rendah.

Indeks Iklim Global Germanwatch mengkaji impak peristiwa cuaca melampau untuk dua dekad, terutamanya musim ribut 2019, yang mencetuskan hurikan dan siklon yang memusnahkan sebahagian besar kawasan Caribbean, Afrika timur dan selatan Asia.

“Analisis menunjukkan negara miskin berdepan cabaran besar dalam menangani kesan peristiwa cuaca melampau,” kata David Eckstein. – AFP

Salji melitupi bumbung kediaman di Bristol, barat daya England pada 24 Januari 2021. Keadaan dijangka bertambah buruk dengan amaran cuaca salji ais. – AP