Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Sebanyak 18 kotak daging mentah seberat 360 kilogram dan 12 kotak tongkeng ayam seberat 120 kilogram berjaya dirampas semasa operasi pencegahan jenayah di kawasan Jalan Bangar, hari ini.
Operasi tersebut dijalankan oleh keanggotaan detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang sedang membuat rondaan dan telah mengesan dua buah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Jalan Bangar menghala ke Jalan Labu berdekatan dengan Kompleks Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong.
Kenderaan tersebut segera tahan bersama empat suspek iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan warganegara tempatan berumur lingkungan 40 hingga 46 tahun bagi menjalani pemeriksaan.
Hasil daripada pemeriksaan telah menemui sejumlah bungkusan mencurigakan dipercayai daging mentah dan tongkeng ayam yang tidak diisytiharkan.
Siasatan kes dan barang-barang bukti diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Bahagian Kawalan Makanan Halal Daerah Temburong bagi siasatan lanjut.
Pihak PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi tujuan pembanterasan kegiatan-kegiatan jenayah terutama sekali barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara seludup.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan
jenayah diminta untuk melaporkannya terus melalui melalui talian kecemasan polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.