49 kes baharu dicatat di Singapura

SINGAPURA, 2 SEPT – Singapura melaporkan 49 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu di republik berkenaan kepada 56,901.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat tiga kes dalam komuniti, satunya melibatkan warga Singapura dan dua pemegang pas kerja,” menurut Kementerian Kesihatan republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini.

Kementerian itu memaklumkan bahawa terdapat tiga kes import yang semuanya telah diberikan Notis Tinggal di Rumah atau diasingkan semasa tiba di Singapura.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu telah mengklasifikasikan 910 kes yang dilaporkan sebagai diimport, 2,241 sebagai kes komuniti dan 53,701 melibatkan penghuni asrama.

Seramai 55,749 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus itu dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sementara itu, 86 kes yang disahkan masih menerima rawatan di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi. – Bernama