49 maut, 48 cedera serangan di masjid

CHRISTCHURCH, 15 Mac – Angka korban serangan tembakan di dua buah masjid di Christchurch kini meningkat kepada 49 orang dengan lebih 48 lagi cedera, kata Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush hari ini, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau turut mengesahkan tiga lelaki dan seorang wanita kini ditahan dan pihak polis sedang berusaha untuk menghentikan rakaman video kejadian di Masjid Al Noor yang kini tular di media sosial.

Terdahulu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata empat suspek ditahan, termasuk seorang lelaki kelahiran Australia dan percaya tiada suspek lain buat masa ini.

“Jelas ia serangan pengganas dan telah dirancang dengan amat teliti. Dua bom yang dipasang pada kereta berjaya dimatikan pihak polis. Tahap keselamatan di New Zealand dinaikkan ke tahap tertinggi,” katanya pada sidang akhbar di Wellington.

Dipercayai dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dua masjid berasingan di Christchurch hari ini.

Kakitangan ambulans membawa seorang lelaki dari sebuah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac berikutan insiden penembakan di dua masjid yang dipenuhi jemaah semasa solat Jumaat. – AP

Menurut laporan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di dalam masjid Masjid Al Noor yang dipenuhi jemaah.

Saksi memberitahu para mangsa telah ditembak pada jarak dekat, dengan kaum wanita dan kanak-kanak turut dipercayai antara mangsa yang terkorban dalam serangan itu.

Difahamkan serangan berlaku sekurang-kurangnya di enam lokasi berbeza. Kira-kira 50 das tembakan kedengaran, kata seorang saksi.

“Hari ini merupakan hari paling malang di New Zealand. Doa dan ingatan saya sentiasa untuk Christchurch,” kata Ardern.

Orang ramai dinasihatkan berada di rumah dan semua masjid diminta ditutup.

Selain itu, beberapa jalan raya dan sekolah masih ditutup namun Lapangan terbang Christchurch beroperasi seperti biasa.

Konsul Jeneral Cina di Christchurch Wang Zhijian memberitahu Xinhua bahawa tindak balas kecemasan telah diaktifkan. Tiada mangsa warga China dilaporkan. – Bernama/AFP