49 penerima biasiswa Chevening dirai

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe, hari ini, telah menghoskan Majlis Resepsi bagi Alumni Chevening dan Meraikan Penerima Biasiswa Chevening bagi 2020-2021 yang berlangsung di kediamannya.

Kumpulan Alumni Chevening terdiri daripada 49 orang ahli dengan penerima biasiswa pertama dianugerahkan 32 tahun dahulu pada 1988. Biasiswa Chevening adalah program biasiswa global kerajaan UK yang dibiayai oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) dan organisasi-organisasi rakan kongsi.

Biasiswa itu menyokong pengajian di universiti-universiti UK sebahagian besarnya program ijazah sarjana setahun bagi individu-individu yang menunjukkan potensi untuk menjadi pemimpin masa hadapan, pembuat keputusan serta penghasil pendapat.

Di majlis itu, penerima Biasiswa Chevening bagi 2020-2021 yang diraikan merupakan penerima ke-51 bagi biasiswa berkenaan iaitu Brice Lee Tseen Fu yang akan memulakan pengajian lepas graduannya yang dibiayai penuh di University of Sheffield.

Brice Lee berkata ia merupakan pengiktirafan yang amat bermakna untuk menerima Biasiswa Chevening yang berprestij itu serta untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian Chevening.

TYT John Virgoe ketika menghadiri Majlis Resepsi bagi Alumni Chevening dan Meraikan Penerima Biasiswa Chevening bagi 2020-2021.
TYT John Virgoe yang menyampaikan anugerah biasiswa kepada salah seorang penerima pada masjlis tersebut.

Beliau menyatakan penghargaan kepada TYT John Virgoe yang menyampaikan anugerah biasiswa itu kepadanya dan sebagai graduan dari Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana menyediakan sistem pendidikan di Brunei yang memberikan peluang kepadanya untuk menerima anugerah biasiswa itu.

Brice Lee turut menyatakan penghargaan kepada mentornya, Rahman Yoonus dari Think Axis Solutions yang memberikannya bimbingan berguna dalam perjalanan akademiknya.

Beliau meluahkan perasaan amat teruja kerana berpeluang untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya di UK di mana ia akan membantunya untuk mempersiapkan diri untuk memajukan dunia penyelidikan dan akademia di Brunei dengan menggabungkan ilmu pengetahuan yang diperoleh di Brunei dengan ilmu pengetahuan yang akan diperoleh di UK.

“Saya yakin dengan menerima Anugerah Chevening, ia merupakan batu loncatan yang sesuai dalam perjalanan ini,” tambah Brice Lee.

Di majlis itu, TYT John Virgoe menyatakan rasa amat gembira kerana dapat menganugerahkan biasiswa itu kepada Brice yang akan menyertai penerima-penerima biasiswa Chevening lain dari seluruh dunia untuk belajar di UK.

Apabila kembali nanti, Brice, jelasnya akan menyertai lebih 50,000 orang alumni Chevening dari seluruh dunia yang merangkumi rangkaian global yang disanjung dan berpengaruh.

Beliau juga mengumumkan bahawa permohonan bagi Biasiswa Chevening bagi Tahun Akademik 2021-2022 kini sudah dibuka dan mengalu-alukan pemohon daripada individu di tengah kerjaya mereka yang menunjukkan komitmen untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi Brunei untuk memohon menyertai program biasiswa berkenaan.

Semasa majlis berkenaan, Brice Lee telah dialu-alukan ke dalam keluarga Chevening oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Presiden Persatuan Alumni Chevening Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga merupakan cendekiawan Chevening pada 2014-2015 bersama ahli-ahli alumni yang lain.