49 pesara diraikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Seramai 49 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara hari ini diraikan dalam Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan cenderamata kepada para pesara pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Menurut kenyataan daripada kementerian berkenaan, majlis antara lain bertujuan bagi memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah bersara pada tahun 2019 dan untuk mengenang jasa serta bakti yang telah dicurahkan semasa bertugas di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Di samping itu, ianya juga bertujuan bagi mengeratkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan antara pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan yang masih berkhidmat bersama kementerian berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan cenderamata kepada salah seorang pesara semasa majlis tersebut. – Gambar oleh Infofoto