Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 49 rekrut lelaki Polis Tambahan Skuad 1 Tahun 2021 yang menjalani latihan asas telah menamatkan latihan mereka dan diraikan dalam upacara perbarisan tamat latihan di Padang Kawad Besar Pusat Latihan polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB),kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para rekrut terbaik ialah Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dato Paduka Haji Awang Mohammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.
Antara yang menerima anugerah ialah Rekrut APO 7281 Nurhelmizan bin Jali @ Helmi Anak Jali dipilih sebagai Rekrut Terbaik Akademik Polis Tambahan Skuad 01/2021 dan Rekrut Terbaik Latihan Luar ialah Rekrut APO 7294 Muhammad Rafie Afandi bin Razali.
Upacara turut menyaksikan perbarisan berjalan lalu dalam gerak perlahan dan cepat serta mara ke hadapan untuk diperhati semula.
Ia juga diberkati dengan bacaan doa selamat oleh Ketua Guru Ugama Pusat Latihan Polis, Awang Sewarddy bin Haji Abdullah Sani.
Tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada rekrut-rekrut yang berjaya menamatkan latihan dan bergambar ramai bersama bekas rekrut yang diraikan.

