49,000 ekar dijilat api

SYDNEY, 27 Nov – Kejadian kebakaran terus mengancam kediaman dan harta benda di wilayah Queensland, Australia hari ini dengan keadaan cuaca yang panas menyukarkan anggota-anggota bomba.

Menurut pihak berkuasa, kawasan seluas 49,000 ekar dijilat api dan kebakaran itu bertambah buruk apabila suhu melebihi 30 darjah Celsius.

Menurut laporan media setempat, beberapa buah kediaman musnah akibat kebakaran dan kira-kira 800 penduduk Deepwater, Baffle Creek, Rules Beach, Oyster Creek dan Miriam Vale terpaksa berpindah.

Bagi memberi bantuan kepada kru-kru setempat dan membekalkan bantuan kemanusiaan kepada anggota-anggota keselamatan, Wilayah New South Wales (NSW) telah menghantar 100 anggota bomba untuk menyertai operasi ter-sebut.

“Queensland menyaksikan keadaan yang jarang berlaku dalam tempoh beberapa hari di mana lebih 40 tempat belukar telah dijilat api di seluruh wilayah itu,” menurut kenyataan Menteri Perkhidmatan Kecemasan NSW, Troy Grant.

“Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW telah dikerahkan semalam dan bekerjasama dengan anggota-anggota bomba luar bandar Queensland dan memberikan bantuan kepada kru setempat yang telah bertugas akhir-akhir ini.”

“Para sukarelawan dari NSW akan melaksanakan operasi memadam api.”

Buat pertama kali Queensland juga telah mengerahkan tangki udara besar dari NSW untuk memberi bantuan dan juga bom air.

“Keadaan sangat berasap di sini, kami sukar untuk melihat keseluruhan kebakaran, apa yang dapat kami lihat adalah bahagian yang kami selenggarakan,” beritahu pengendali bom air, John Gallagher kepada radio ABC. – Xinhua

Imej yang diambil dari udara menunjukkan kebakaran di kawasan Deepwater, Queensland, Australia. Menurut pihak berkuasa, kawasan seluas 49,000 ekar telah dijilat api. – AP