5.2% lagi menuju fasa peralihan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Peratusan individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos telah meningkat sebanyak 82.4 peratus daripada jumlah penduduk negara yang bersamaan dengan 354,428 orang setelah seramai 6,617 lagi di seluruh negara menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (4 November 2021).

“Manakala, 278,468 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu sekitar 64.8 peratus di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan data itu semasa sidang media hari ini.

Menurutnya, jumlah dos kedua tersebut menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 1.5 peratus berbanding kelmarin, 63.3 peratus. Dengan jumlah dos lengkap tersebut juga, kini negara cuma memerlukan sebanyak 5.2 peratus lagi untuk mencapai 70 peratus sebelum beralih ke fasa peralihan.

Setakat ini, Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 632,896 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 404,768 dos, diikuti dengan Daerah Belait (84,127), Daerah Tutong (72,987) dan Daerah Temburong sebanyak 84,127 dos.