5 anak damit 1 muharram di Belait dirai

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 23 OGOS – Lima orang anak damit yang dilahirkan pada Awal Tahun Baharu Hijrah 1442 di Daerah Belait telah diraikan bersama ibu bapa mereka pada majlis yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman yang diiringi oleh Ketua Pemasaran dan Perhubungan Korporat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Haji Afero Eswandy bin Haji Mohammad.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Mukim Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji
Jamudin; Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Haji Ismail serta para pegawai dan kakitangan dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan di daerah ini.

Kelahiran anak damit paling awal direkodkan oleh Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait ialah anak damit lelaki pada 6:45 pagi, 20 Ogos manakala itu yang terakhir pada pukul 4:52 petang iaitu anak damit perempuan.

Pada majlis itu, hadiah-hadiah telah diterima oleh bapa-bapa anak damit yang diraikan sementara ibu-ibu dan anak damit mereka berada di Hospital SSB. Antara hadiah-hadiah yang diberikan termasuk keperluan anak damit dan buku agama bertajuk ‘Panduan Menyambut Kelahiran’ yang disampaikan oleh Haji Abdul Manap.

Selain itu, baucar Akaun Si Manja bernilai $200 dan keperluan anak damit turut diberikan oleh Perbadanan TAIB yang disampaikan oleh Haji Afero Eswandy.

Salah seorang bapa anak damit yang diraikan menerima hadiah yang disampaikan oleh Haji Abdul Manap.