5 faktor utama Labuan berjaya perangi COVID-19

LABUAN, 15 OGOS – Kejayaan Labuan memerangi pandemik COVID-19 sebahagian besarnya disumbangkan oleh lima faktor utama iaitu keberkesanan program vaksinasi, program kawalan kesihatan awam, program intervensi berdasarkan penilaian risiko, selain kerjasama erat orang ramai dan kawalan sempadan yang ketat.

Wilayah Persekutuan itu merekodkan tiada kes baharu COVID-19 semalam, bagi pertama kali sejak ia mencatatkan peningkatan mendadak kes positif dengan penularan varian Delta dari April hingga Julai lepas.

“Penurunan ketara bagi jumlah kes positif dan kematian sejak bulan lalu menunjukkan program vaksinasi telah berkesan dalam meratakan lekuk penularan COVID-19.

“Jumlah kes harian COVID-19 terus menurun ke paras rata sejak beberapa bulan terakhir apabila pulau ini memperluaskan kelayakan vaksin kepada semua orang dewasa,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Asmuni Bohari dalam wawancara khas dengan wakil media.

Beliau berkata jumlah kematian akibat COVID-19 juga menurun sejak minggu kedua Julai, selepas program vaksinasi dijalankan dengan berkesan.

Orang ramai mengambil kesempatan hujung minggu beriadah santai bersama keluarga menaiki perahu Larai (Layar) sambil menikmati pemandangan senja ketika tinjauan dalam tempoh pelaksanaan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara di sebuah pusat pelancongan pesisir pantai di Kampung Batu Manikar, Labuan. – Bernama

Beliau mendedahkan bahawa Labuan paling teruk dilanda gelombang kedua COVID-19 pada penghujung tahun lalu (dari Oktober 2020 hingga Jun 2021) dan mencatatkan 1,598 kes dalam masa dua bulan (ketika tempoh itu) dengan kematian berlaku setiap hari (termasuk kematian di luar hospital).

“Labuan dilanda lonjakan mendadak dalam kes positif pada 24 April tahun ini apabila kita terpaksa berdepan serangan tidak dijangka varian Delta yang berpunca daripada pekerja asing di sektor berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Susulan serangan varian Delta, beliau berkata jumlah kes aktif menyaksikan peningkatan luar biasa sebanyak 63 kali ganda (pada minggu pertama bulan Jun) dengan jumlah kes harian melebihi 200.

“Ada satu ketika kita merekodkan kes positif sehingga 1,344 kes dalam seminggu. Bagaimanapun, proses vaksinasi berjalan lancar meskipun terdapat peningkatan jumlah kes dan munculnya varian Delta.

“Bayangkan, Hospital Labuan hanya mempunyai 122 katil tetapi peningkatan mendadak kes positif sampai ke peringkat kita terpaksa mengubah wad biasa kepada wad COVID-19, membuka lebih banyak pusat kuarantin dan akhirnya mendirikan hospital medan COVID-19,” katanya.

Dr Ismuni berkata situasi tersebut berjaya ditangani, kemungkinan disebabkan sekatan pergerakan (pada Jun) dan program vaksinasi yang berkesan.

“Ketika ini, kita hanya ada dua kes di unit rawatan rapi (ICU) di hospital, tidak seperti sebelum ini apabila kita terpaksa meminta bantuan oksigen dari tanah besar Sabah berikutan lonjakan bagi kes kategori tiga dan empat daripada lima kategori penyakit itu.

“Pembukaan lebih banyak pusat vaksinasi, iaitu daripada dua kepada sembilan, serta prosedur vaksinasi melalui jumpa terus (walk-in) dan pandu lalu (drive-through) membantu melancarkan dan mempercepatkan program… dan membolehkan masyarakat kembali ke kehidupan yang hampir normal,” katanya.

Dr Ismuni berkata Labuan mencapai imuniti kelompok pada 27 Julai lepas yang membawa Wilayah Persekutuan itu beralih ke Fasa Tiga daripada Empat Fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan (termasuk bantuan penyediaan aset dan logistik) serta masyarakat.

“Kerjasama daripada ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dalam menyelaraskan kehadiran beribu penduduk dari 27 kampung dan masyarakat di penempatan pelarian untuk ke pusat vaksinasi juga sangat membantu,” katanya. – Bernama