5 lagi pelanggan BIBD aspirasi menang $50,000

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah menyampaikan hadiah berjumlah keseluruhan sebanyak $50,000 kepada lima orang pemenang bagi cabutan suku ketiga Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 2.

Pada majlis cabutan dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Tarindak D’Seni, di sini, itu setiap pemenang membawa pulang hadiah berjumlah $10,000. Para pemenang dipilih dari-pada pelanggan-pelanggan yang mendaftar kepada BIBD Aspirasi 2 dengan tempoh pemegangan minimum selama 90 hari.

Pemenang-pemenang hadiah cabutan suku ketiga berkenaan telah disenarai pendekkan semasa acara cabutan secara langsung yang diadakan pada 17 Ogos lalu yang dirasmikan oleh wakil daripada Bahagian Syariah BIBD dan disaksikan oleh wakil-wakil daripada Bahagian Pematuhan BIBD.

Pada majlis berkenaan, cabutan bagi menentukan lima pemenang hadiah cabutan suku ketiga dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Hadiah lima orang pemenang cabutan suku ketiga disampaikan Pemangku Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan bergambar ramai bersama lima pelanggan bertuah cabutan suku ketiga Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 2 pada majlis yang berlangsung di Tarindak D’Seni, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
Gambar ramai bersama para pemenang pada majlis cabutan dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Tarindak D’Seni, kelmarin.

Pada majlis itu juga, seramai 35 orang pemenang bertuah bagi cabutan bulanan ke-9 kempen berkenaan turut menerima hadiah berjumlah $1,000 setiap seorang di mana hadiah bagi pemenang cabutan bulanan disampaikan oleh Penolong Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Clevy Syabil ‘Arifin bin Jamil.

Memandangkan keadaan pandemik COVID-19 pada masa ini, acara tertutup berkenaan dijalankan dengan mengambil kira untuk mengurangkan risiko jangkitan virus serta mematuhi garis pandu perkumpulan ramai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Untuk layak bagi cabutan utama kempen berkenaan, pelanggan perlu mendaftar atau melanggan kepada BIBD Aspirasi 2 bagi tempoh minimum 90 hari sebelum cabutan berkenaan.

Program ganjaran BIBD Aspirasi 2 akan berakhir dengan cabutan utama untuk menentukan pemenang wang tunai $250,000.

Sehingga hari ini, BIBD telah menyampaikan hadiah wang tunai berjumlah $465,000 keseluruhannya kepada 330 orang pemenang termasuk para pelanggan bagi kempen Aspirasi 1 yang terdahulu.