Thursday, February 9, 2023
23.4 C
Brunei

-

5 lagi premis tak patuh harga kawalan dikompaun

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPES

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Lima buah premis perniagaan telah dikeluarkan kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak $2,900 kerana tidak mematuhi Akta Kawalan Harga Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya pada Disember 2022 oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, hasil daripada aduan orang ramai yang diterima secara rasmi oleh JPES serta berikutan pelaksanaan kerja rutin harian penguatkuasaan Akta Kawalan Harga, Penggal 142, telah mendapati lima buah premis perniagaan melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Bab 3B, iaitu menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan yang dikawal harga (minyak masak) di bawah Akta Kawalan Harga dan Bab 5 iaitu berkaitan dengan paparan tanda harga.

Kesalahan-kesalahan yang telah dikeluarkan kompaun menurut kekerapan kesalahan dibuat termasuk sebuah premis perniagaan yang dikenakan kompaun $700 kerana menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan yang dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142; sebuah premis perniagaan dikenakan kompaun $700 kerana tidak memaparkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual di dalam premis perniagaan serta tiga buah premis perniagaan masing-masing dikenakan kompaun $500 kerana memaparkan tanda harga yang mengelirukan iaitu paparan tanda harga tidak selaras dengan harga yang tercatat di dalam sistem kaunter pembayaran.

JPES merakamkan penghargaan kepada para pengguna yang telah melaporkan aduan secara rasmi melalui saluran-saluran yang telah disediakan dan secara bertanggungjawab dengan menyertakan maklumat lengkap termasuk dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar.

Para peniaga dinasihatkan supaya sentiasa menanai tanggungjawab dalam mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada dalam usaha bagi membangunkan ekosistem perniagaan domestik yang mengamalkan amalan perniagaan yang beretika termasuk memastikan paparan tanda harga yang betul dan jelas.

Selain itu, para pengguna digalakkan untuk mengoptimumkan penggunaan saluran-saluran rasmi yang telah disediakan dan mudah diakses bagi menyalurkan aduan berkaitan dengan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak, hotline Talian Darussalam 123 serta e-mel, [email protected]

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Akta Kawalan Harga, Penggal 142, boleh mendapatkannya melalui aplikasi mudah alih, PenggunaBijak yang boleh dimuat turun melalui platform App Store dan Google Play atau laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.

Salah seorang pegawai JPES semasa memeriksa harga barangan di sebuah premis perniagaan.
Pegawai JPES semasa memeriksa harga barangan di salah sebuah premis perniagaan.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Kim Jong Un bawa anak perempuan lawat markas tentera

SEOUL, KOREA SELATAN, 8 FEB - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membawa anak perempuannya melawat kem tentera bagi menandakan ulang tahun ke-75 penubuhan...
- Advertisment -