5 lelaki ditahan, dadah dan senjata ditemui

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Beberapa paket straw yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.97 gram, wang tunai $301 dan beberapa alat yang dipercayai merupakan senjata api buatan sendiri telah ditemui dalam satu serbuan yang dijalankan di Kampung Birau, Tutong, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) itu juga berjaya menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Menurut kenyataan BKN di sini, tangkapan tersebut masih di dalam siasatan di bawah kesalahan beberapa seksyen.

Antaranya ialah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas ke-salahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar Kelas A yang melebihi daripada 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

Ia juga turut disiasat di bawah Seksyen 6(a) APD Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal, Seksyen 6(b) APD Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 7 APD Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal.

Sementara beberapa alat yang dipercayai merupakan senjata api buatan sendiri yang ditemui di kawasan rumah tersebut telah diserahkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei bagi tindakan seterusnya.

Berikutan daripada operasi ini, BKN ingin mengingatkan orang ramai bahawa pihak BKN akan sentiasa meneruskan usaha bagi tindakan membanteras aktiviti-aktiviti pengedaran seperti ini.

BKN juga menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan kewaspadaan dan melaporkan sebarang aktiviti perkumpulan yang mencurigakan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Alat yang dipercayai senjata api buatan sendiri yang ditemui semasa serbuan tersebut.
Beberapa paket straw yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.97 gram.