5 maut bot karam dibadai ribut di selatan Thailand

BANGKOK, 27 Julai – Lima maut selepas bot yang dinaiki terbalik dan karam akibat dibadai ribut berhampiran Pulau Koh Ngam di wilayah Chumphon, selatan Thailand, semalam.

Agensi berita China Xinhua yang memetik jurucakap polis berkata mayat empat mangsa wanita dan seorang lelaki ditemui di dalam bot yang karam awal pagi tadi.

Menurut polis, 11 lagi mangsa termasuk tiga kru bot yang disewa itu ditemui dalam keadaan terapung berhampiran kawasan kejadian.

Mereka diselamatkan pasukan polis marin pada malam semalam.

Mangsa yang maut merupakan sebahagian daripada sekumpulan 13 penduduk tempatan yang menyertai kursus menyelam dan bengkel fotografi bawah laut. – Bernama