AFGHANISTAN, 12 JAN – Kumpulan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab hari ini atas insiden pengeboman maut yang mengorbankan lima orang, dekat Kementerian Luar di ibu negara Afghanistan.
Pengeboman itu merupakan serangan besar kedua di Kabul pada 2023 dan mendapat kecaman daripada masyarakat antarabangsa.
Kumpulan pelampau itu berkata dalam satu kenyataan seorang anggota IS yang dikenal pasti sebagai Kheiber al-Qandahari, meletupkan jaket berisi bahan ledakan di tengah-tengah perhimpunan kakitangan kementerian dan pengawal ketika mereka keluar melalui pintu utama kementerian.
Tiada respons daripada pemerintah Taliban Afghanistan mengenai dakwaan IS. Jurucakap ketua polis Kabul Khalid Zadran, berkata kelmarin letupan itu mengorbankan lima orang awam dan sebilangan yang lain cedera berhampiran kementerian.
Akhbar IS Aamaq berkata serangan itu bertepatan dengan kursus latihan kementerian untuk diplomat.
Selepas serangan kelmarin, lebih 40 orang yang cedera dibawa ke pusat pembedahan di Kabul yang dikendalikan oleh Emergency, sebuah pertubuhan kemanusiaan. Stefano Sozza, pengarah Emergency di Afghanistan, berkata pada masa itu bahawa dia menjangkakan jumlah korban akan meningkat.
Serangan itu mendapat kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pelbagai negara. Dalam satu kenyataan kelmarin, Pakistan berkata ia menyokong warga Afghanistan dalam memerangi militan.
China, pada hari ini, berkata bahawa tiada seorang pun rakyatnya terbunuh atau cedera dalam serangan itu, berikutan laporan bahawa delegasi pelawat China akan tiba di kementerian tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Wang Wenbin memberitahu siaran media: “Kami berharap Afghanistan akan mengambil langkah tegas untuk melindungi keselamatan kakitangan dan institusi semua pihak di Afghanistan, termasuk dari China.” – AP