5 maut dihempap bangunan pangsapuri

NEW DELHI, 26 Sept – Lima orang terkorban hari ini apabila sebuah blok pangsapuri runtuh di New Delhi, menghempap penghuninya di bawah timbunan konkrit, dalam satu kejadian bangunan runtuh terbaharu di India.

Para penyelamat berjaya menarik keluar sekurang-kurangnya 12 orang yang terperangkap di bawah runtuhan.

“Kami boleh mengesahkan bahawa lima orang terkorban. Pasukan penyelamat di tapak kejadian masih membersihkan bekas runtuhan,” kata seorang pegawai polis setempat, Sarat Chandra Nirmal.

Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian menyaksikan dua mayat kanak-kanak dikeluarkan dari runtuhan.

Bangunan itu terletak di sebuah kejiranan yang padat, di mana banyak bangunan berkongsi dinding.

Kelihatan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus akibat bangunan runtuh di New Delhi kelmarin. – AFP

Press Trust of India memetik seorang pegawai setempat menyatakan bahawa bangunan itu berusia 20 tahun dan strukturnya tidak kukuh.

Beberapa media lain melaporkan bangunan empat tingkat itu dibina secara haram.

Ia hanyalah antara kejadian bangunan runtuh di India.

Pada bulan Julai, sebuah bangunan enam tingkat runtuh di luar Delhi, mengorbankan sembilan orang.

Tahun lepas, sebuah dinding runtuh menghempap tetamu yang meraikan sebuah perkahwinan di Rajasthan, mengorbankan 24 orang.

Kemasukan beramai-ramai ke beberapa buah bandar bagi mencari pekerjaan dan kurangnya tempat tinggal yang murah menyebabkan pembinaan bangunan secara haram di seluruh India.

Kebanyakannya dibina dengan bahan binaan yang tidak mencapai standard. – AFP