5 nelayan Vietnam ditahan disyaki tangguk gamat

PASIR PUTEH, 23 SEPT – Agensi Pengutkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan menahan lima nelayan warga Vietnam yang disyaki menangkap gamat secara haram di perairan Kelantan, semalam, dan merampas kira-kira 250 kilogram gamat yang ditemukan dalam bot mereka.

Pengarahnya Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata kesemua mereka yang berumur antara 40 dan 49 tahun ditahan petugas Bot Kilat 28 yang sedang melaksanakan Ops Kuda Laut kira-kira 54 batu nautika dari muara Tok Bali, pada pukul 10:15 pagi.

Beliau berkata nilai tangkapan gamat termasuk bot serta peralatan menangguk gamat yang dirampas dianggarkan berjumlah lebih RM300,000.

“Ini adalah tangkapan kali ke-49 di bawah Ops Kuda Laut, menjadikan jumlah keseluruhan tahanan setakat ini adalah seramai 544 individu, yang majoritinya warga Vietnam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali di sini, hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut tanpa kebenaran yang boleh membawa hukuman denda RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 kepada awak-awak. – Bernama

Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kanan) menunjukkan rampasan gamat pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali. – Bernama