Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    5 PBD baharu diperkenalkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Bagi memperkenalkan dan memaklumkan kepada orang awam, sektor kerajaan dan swasta tentang lima buah terbitan terbaharu Piawai Brunei Darussalam (PBD) iaitu PBD 39:2022 sehingga PBD 43:2022, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan (JPAM), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Pusat Standard Kebangsaan (PSK), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) kelmarin mengadakan taklimat program pemberigaan bagi PBD 39:2022 Brunei Standards for Sapodilla; PBD 40:2022 Brunei Standards for Cucumber; PBD 41:2022 Brunei Standard for Eggplants; PBD 42:2022 Brunei Standars for Melon dan PBD 43:2022 Brunei Standards for Pumpkin di Dewan Simpur, Pusat Agribisnes Rimba, JPAM.

    Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Pertanian, JPAM, Awang Mohamad Faa’id bin Haji Mohamad Kasim, selaku ahli Technical Committee on Agricultural Crops (TCAC) dan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, PSK, Pengiran Abdul Shahid bin Pengiran Haji Amir Bahar. Acara berkenaan telah dihadiri oleh pengusaha-pengusaha tanaman, wakil dari pasar raya, pembekal tanaman, pengeksport dan pengimport tanaman, institusi pengajian tinggi serta pegawai dan kakitangan JPAM.

    Program itu juga menyediakan garis panduan asas dalam menetapkan piawaian bagi aktiviti pengeluaran di ladang bagi memastikan hasil tanaman adalah berkualiti dan selamat berdasarkan spesifikasi piawaian gred yang telah ditetapkan. Dengan adanya program berkenaan, ia diharap dapat meningkatkan daya saing hasil pertanian dari negara ini sama ada dalam pasaran domestik mahupun eksport.

    Piawaian ini merangkumi pelbagai aktiviti pengeluaran ladang yang mengandungi definisi hasil, kualiti, saiz, toleransi, penampilan, penandaan atau pelabelan, bahan cemar, kebersihan, dan teknik pensampelan dan analisis. Adapun piawaian ini hanya meliputi jenis tanaman komersial yang akan dibekalkan segar dan sedia untuk dimakan. Hasil pertanian untuk pemprosesan industri secara amnya dikecualikan. Dalam edisi ini, tumpuan standard akan diberikan kepada ciku, timun, terung, melon dan labu.

    Piawaian ini juga boleh menjadi rujukan dan panduan am untuk pengimport, pengeksport, pengembangan pertanian, komuniti peladang, penyelidik akademik, penggubal dasar dan juga orang awam yang terlibat dalam aktiviti pertanian.

    Piawaian ini adalah penting dalam menyokong perancangan strategik KSSUP yang menekankan empat elemen utama iaitu pertumbuhan, produktiviti, eksport dan kemampanan.

    Pembangunan piawaian ini juga adalah selaras dan menyokong usaha ASEAN Economic Community’s (AEC) dalam mempromosikan pasaran tunggal dengan memudahkan perdagangan intra dan ASEAN, jaminan kualiti dan memastikan standard keselamatan hasil ladang.

    Dalam merealisasikan inisiatif kedua-dua agensi iaitu JPAM dan PSK, pemberigaan diakhiri dengan penjualan kelima-lima buku-buku PBD berkenaan.

    Awang Mohamad Faa’id semasa menyampaikan taklimat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...