Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Lima orang pegawai dari Republik Singapura hari ini tiba di negara ini bagi mengikuti program pertukaran dalam penyiaran di bawah pemeteraian Memorandum Persefahaman dalam Bidang Penyiaran dan Penerangan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Program pertukaran ini merupakan salah satu program yang telah dipersetujui di Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama di bawah memorandum persefahaman tersebut.
Mereka diketuai oleh Timbalan Pengarah (Messaging and Engagement) di Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura, Shakera Stationwala, akan berada di negara ini selama empat hari.

Sepanjang berada di sini, mereka akan mengadakan lawatan ke agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Brunei, Pusat Peng-urusan Bencana Kebangsaan, Kementerian Pertahanan dan juga Kementerian Kesihatan.
Mereka juga akan melawat Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) di Anggerek Desa dan beberapa tempat menarik.
Program ini antara lain bertujuan mendedahkan dan menimba pengalaman serta berkongsi maklumat peranan dan fungsi jabatan sebagai telinga, mata dan lidah kerajaan kedua-dua buah negara.