5 pelajar sertai Perkhemahan Alam Sekitar STEP 2021

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Lima orang pelajar telah mewakili Negara Brunei Darussalam ke Perkhemahan Alam Sekitar STEP 2021 iaitu perkhemahan secara maya yang berlangsung dari 15 hingga 19 November.

Perkhemahan yang dijalankan setiap tahun bermula 2013 anjuran Temasek Foundation dan National University Singapore itu telah disertai oleh 20 buah kumpulan pelajar yang berumur 17 hingga 19 tahun dari 10 buah negara Asia termasuk Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, pelajar yang mewakili Brunei ke perkhemahan secara maya itu ialah Dayang Amal Afiqah binti Haji Rusali dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, Dayangku Syifrah Arifah binti Pengiran Haji Isa dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Dayang Siti Aisyah binti Haji Abdul Jalal dari PTE Meragang, Awang Syafiq Shahnizam bin Mohd Ridhwan Zul Hisyam dari PTE Tutong dan Wong Ru Kait dari PTE Belait.

Kenyataan menyatakan bahawa pelajar-pelajar berkenaan telah dibimbing oleh Pegawai Pelajaran, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan, Dayang Nurul Fathiah Bazilah binti Haji Ibrahim.

Pelajar-pelajar berkenaan telah berjaya memenangi tempat kedua bagi Anugerah Poster Alam Sekitar, tempat ketiga bagi Anugerah Kertas Alam Sekitar dan tempat ketiga bagi Anugerah Pembentangan Alam Sekitar semasa perkhemahan itu.

Para pelajar juga telah menghasilkan sebuah poster dan esei penyelidikan yang bertajuk Peatlands: A Dying Gem.

Selain itu, mereka juga bergabung dengan pelajar-pelajar NUS High School, Singapura, bagi pembentangan projek bertajuk The Black Gold of the Forest, mengenai pemeliharaan spesies bakau di Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Menerusi penyertaan para peserta dalam perkhemahan itu, ia diharapkan mereka akan dapat mengongsi pengalaman mereka dengan rakan-rakan di sekolah masing-masing untuk mendedahkan amalan hijau dalam kalangan belia.

Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam pada Perkhemahan Alam Sekitar STEP 2021 telah diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi Anugerah Pembentangan Alam Sekitar pada majlis penyampaian hadiah secara maya. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan