5 pelanggan Baiduri menang hadiah lumayan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Bank Baiduri, hari ini, telah mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada lima pemenang promosi yang diadakan dengan kerjasama Mastercard.

Pada majlis yang berlangsung di Bank Baiduri cawangan Kiarong itu, Chin Kim Luong membawa pulang hadiah utama berupa pakej pelancongan untuk dua orang bernilai $5,000.

Di tempat kedua, Ng Mei Li memenangi pakej pelancongan untuk dua orang bernilai $3,000 dan Dayang Hasmah binti Haji Salleh di tempat ketiga membawa pulang pakej pelancongan untuk dua orang bernilai $2,000.

Sementara itu, di tempat keempat dan kelima dimenangi oleh David Law Boon Chye dan Dayang Rorrita binti Haji Jaafar yang masing-masing membawa pulang 50,000 dan 30,000 Royal Skies miles.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Perniagaan Kad di Bank Baiduri, Lim Kian Chiong.

Menurut kenyataan yang diberikan Bank Baiduri, sepanjang promosi yang berlangsung dari awal September hingga penghujung Oktober lalu itu, para pelanggan yang menggunakan kad kredit atau debit Mastercard Baiduri untuk membuat pembelian, berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah berkenaan.

Lim Kian Chiong bergambar ramai bersama para pemenang promosi dengan Mastercard berkenaan.