5 pelombong disahkan hilang

JOHANNESBURG, 4 Mei – Seorang pelombong maut, manakala lima lagi disahkan masih hilang selepas gempa bumi melanda kawasan berhampiran lombong emas di subbandar Johannesburg, menurut syarikat Sibanye-Stillwater semalam.

Seramai 13 pelombong masih terperangkap kira-kira tiga kilometer dari permukaan tetapi pihak penyelamat berjaya membawa beberapa daripada mereka keluar, kata jurucakap syarikat itu, James Wellsted kepada AFP.

Bagaimanapun, seorang daripada pelombong yang berjaya diselamatkan itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

“Pusat gempa bumi terletak berhampiran lokasi pelombong sedang bekerja. Lapan pelombong masih terperangkap, tetapi lokasi tiga daripada mereka sudah berjaya dikenal pasti, manakala lima lagi masih hilang,” kata Wellsted.

Kongres Kesatuan Sekerja Afrika Selatan,berkata mereka ‘risau dengan rekod keselamatan buruk syarikat perlombongan Sibanye Stillwater’.

Februari lalu, hampir 1,000 orang pelombong telah terperangkap di bawah tanah selama 30 jam berikutan pemotongan kuasa akibat ribut di lombong lain yang dimiliki oleh Sibanye-Stillwater. Dua hari kemudian, dua pelombong terbunuh selepas tanah runtuh di tapak yang juga dimiliki syarikat itu.

Kemalangan di tapak perlombongan adalah perkara biasa di Afrika Selatan. Menurut statistik daripada Dewan Perlombongan, pada tahun 2016, 73 orang mati di dalam lombong di seluruh negara. – AFP