Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Juara Kategori Bendahara Pertandingan Memanah Tahunan Ar-Rafi lewat Disember lalu, Dayang Siti Norafiqah binti Haji Omar Ali bakal dihantar bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Kejohanan Memanah Tradisi Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Januari ini nanti.
Beliau, salah seorang daripada lima peserta yang akan mewakili negara di kejohanan tersebut, merasa berbesar hati di atas peluang tersebut dan menganggap kemenangan sebelum ini sebagai tanggungjawab besar apatah lagi bakal membawa nama negara dalam kejohanan itu nanti.
Sebelum ini, Dayang Siti Norafiqah hanya berbekal tiga kelas dan latihan ekoran hujan yang lebat hujung tahun lalu, beliau sama sekali tidak menyangka menjadi juara dalam Kejohanan Memanah Tahunan Ar-Rafi.
“Kita perlu sabar dan tenang dalam mencapai sasaran yang dikehendaki kerana jika kita mampu menahan rasa gopoh itu pastinya kita akan mampu mengawal keadaan dan hasilnya,” ujarnya sebelum menegaskan supaya lebih ramai golongan belia untuk menceburi bidang memanah ini.
Beliau juga berazam akan terus berlatih dan mempersiapkan diri untuk penyertaan itu nanti dan turut mengambil peluang mengucapkan penghargaan kepada jurulatih-jurulatih yang banyak memberikan dorongan, sokongan dan juga tunjuk ajar yang sangat berharga.
Kejohanan Memanah Tahunan Ar-Rafi pada Disember lalu mendapat sambutan yang menggalakkan dan respons serta penyertaan bagi kelas memanah turut menunjukkan perkembangan yang sangat positif terutama dalam meningkatkan lagi perkembangan sukan tanah air.
Dayang Siti Nurafiqah dan empat peserta lain akan berhadapan barisan pemanah daripada 13 buah negara antarabangsa di dalam Festival Memanah Tradisi Antarabangsa yang bakal berlangsung di Ladang Alam Warisan di Sri Menanti, Negeri Sembilan.