Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Lima orang pemenang bertuah bagi Promosi Cabutan Bertuah Suzuki Render Your Prize telah diumumkan oleh Boustead Sdn Bhd, pengedar tunggal kereta Suzuki di Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Di samping itu, seorang pemenang bertuah bagi aktiviti jerayawara, Glitch in the Matrix, juga dipilih dan diumumkan semasa majlis cabutan bertuah yang berlangsung di Dewan Pameran Suzuki, Kompleks Perindustrian Beribi II.
Hadir untuk membuat cabutan dalam majlis yang turut disiarkan secara langsung melalui media sosial Suzuki Brunei itu ialah Pengurus Kanan Baiduri Finance Berhad, Haji Mohd Ali bin Haji Metussin; Pengurus Pemasaran BIBD At-Tamwil Berhad, Awang Asharol bin Noshari Kamaludin dan Timbalan Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam, Awang Mohd Azizulillah bin Haji Uthman.
Pemenang bagi Jerayawara Glitch in the Matrix ialah John Quilala dan lima pemenang bagi Promosi Suzuki Render Your Prize ialah Awang Mohammad Nasrullah bin Mohd Zepri yang memenangi Nintendo Switch OLED, Dayangku Noor Hatitin yang memenangi Steam Deck, Awang Rahimi bin Haji Zainal memenangi Black Shark 5Pro, Nadiah Pehin Dato Haji Hisham memenangi Red Magic 8Pro dan Dayang Ernadia binti Haji Mohd Daud yang memenangi ROG Ally.
Pengurus Pemasaran Suzuki Brunei, Adehelmie Jaafar menyatakan bahawa Suzuki sentiasa mengetengahkan dirinya sebagai menyeronokkan, menarik dan mesra pengguna di mana bagi menonjolkan prinsip berkenaan, mereka telah menyediakan sebuah platform bagi pelanggan-pelanggan mereka untuk mempunyai peluang memenangi konsol permainan mudah alih.
Promosi cabutan bertuah berkenaan telah bermula pada 4 Ogos dan berakhir pada 6 Ogos lalu di mana semasa jerayawara yang diadakan di Pusat Membeli-belah One City, pelanggan yang membuat pembelian mana-mana model yang dipamerkan iaitu Suzuki Ertiga, Suzuki Swift Sport, Suzuki Jimny, Suzuki Celerio dan Suzuki S-presso semasa tempoh promosi layak untuk memenangi hadiah berupa konsol permainan mudah alih.
Sementara itu, aktiviti Glitch in the Matrix, semasa jerayawara Suzuki di One City telah disertai oleh lebih 40 orang peserta di mana mereka perlu mengambil gambar jerayawara dari atas dan kemudian tag Suzuki Brunei di Instagram di mana pemenang bertuah akan memenangi konsol Nintendo Switch V2.
