5 pengganas terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina

MANILA, 9 SEPT – Sekurang-kurangnya lima disyaki anggota Abu Sayyaf dan dua askar terbunuh ketika pasukan keselamatan bertempur dengan sekumpulan pengganas di selatan Filipina hari ini.

Komander Regimen Batalion 44 Tentera Darat Leftenan Kolonel Don Templonuevo berkata kejadian berlaku sekitar 2 pagi waktu tempatan, di sebuah perkampungan di wilayah Zamboanga Sibugay, lapor agensi berita Xinhua.

Templonuevo berkata pertempuran berlangsung selama 30 minit dan pasukan tentera dihantar ke kawasan itu selepas penduduk kampung memaklumkan mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata.

Beliau menambah tentera turut merampas empat senjata api dan operasi memburu saki-baki anggota kumpulan masih dijalankan.

Sementara itu, Komander Regimen Batalion ke-102 Brigadier Jeneral Leonel Nicolas berkata pengganas masuk ke kampung berkenaan untuk menculik seorang peniaga.

“Operasi itu dilakukan untuk menangkap saki-baki anggota yang bersembunyi di kawasan bakau di kampung berkenaan. Dua helikopter turut digunakan bagi membantu operasi,” tambah Nicolas.

Kumpulan Abu Sayyaf, sering melakukan serangan dan penculikan di wilayah selatan Filipina, Sulu dan Basilan.

Sejak 2009, kumpulan itu sudah melakukan 47 serangan bom di wilayah Sulu, Basilan dan Zamboanga, menyebabkan 83 orang awam dan tentera terkorban manakala 505 lagi cedera. Serangan terbaru pada 24 Ogos, apabila kumpulan itu melakukan dua pengeboman bunuh diri di Jolo, Sulu, meragut 15 nyawa termasuk lapan tentera selain mencederakan 74 yang lain.

Pada 27 Januari 2019, dua letupan bom menggegarkan sebuah gereja besar di Jolo mengakibatkan 23 maut dan 95 cedera.

Kumpulan Abu Sayyaf sering menjadikan pelancong asing, pemilik perniagaan dan nelayan sebagai mangsa, bukan sahaja dari Filipina tetapi juga dari Indonesia dan Malaysia, menyembunyikan mereka di hutan atau di pulau-pulau terpencil. – Bernama