TAK cukup sekadar mempelajari seni bela diri hanya untuk mempertahankan diri semata. Mahupun untuk kelihatan ‘unggul’ di hadapan teman-teman yang lain.
Apakah lagi hanya untuk mengisi ‘kewajipan’ lulus silibus kokurikulum di sekolah mahupun universiti.
Sedangkan, ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk memperoleh pahala sampingan ketika bersparring di gelanggang mahupun di mana-mana. Inilah bezanya seorang Muslim dengan yang lain.
Selain dipandu untuk melakukan perkara-perkara yang baik, betul dan bermanfaat dalam setiap keadaan, ia juga akan dikira sebagai ibadah walaupun sedang penat bertarung, bergusti dan berpeluh. Yang penting, jangan lupa dengan lima perkara ini:
1-Komunikasi
Jangan berat mulut. Jadikan gelanggang bela diri itu sebahagian dari gelanggang ukhuwah sesama kita. Bina persahabatan bersama kenalan baharu, barulah dapat merasai keseronokan ‘bertempur’.

Juga, secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran komunikasi. Peningkatan kemahiran berkomunikasi dari sudut pertuturan, bahasa tubuh dan cara berbual dengan pelbagai lapisan umur menjadikan kita cepat matang dan mudah ngam.
Malah paling tidak, manalah tahu mereka belanja minum semasa pulang. Jangan tak tahu, menjalinkan ukhuwah itu kan rahsia panjang umur dan murah rezeki.
2-Sosial
Seronoknya apabila kita menyertai kelab-kelab bela diri, automatik kita akan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa. Kerana seni bela diri merentasi bangsa dan agama. Maka ambil kesempatan untuk bergaul dan bersosial.
Tunjukkan keluasan Islam yang sempurna melalui akhlak, batasan aurat dan etika Muslim ketika bersosial.
Sedikit sebanyak, dapat juga kita berdakwah secara tidak langsung walaupun sedang berpeluh-peluh berlatih. Dakwah melalui teladan lebih mudah sampai ke hati berbanding dakwah dengan kata-kata. Betul tak?
3-Disiplin
Antaranya disiplin dalam gelanggang dan juga di luar gelanggang. Ini kelebihan yang mungkin boleh diperolehi apabila menyertai seni bela diri.
Disiplin dalam gelanggang dengan mematuhi arahan jurulatih, undang-undang dan menghormati lawan kita. Manakala disiplin di luar gelanggang misalnya pengurusan masa yang efektif, tidak merokok, menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam. Ingat, anda berlatih seni bela diri bukan sekadar nak ‘bertumbuk’ atau lepas geram, tetapi juga untuk melatih diri menjadi lebih berdisiplin.
4-Sihat
Dalam berpeluh-peluh kita berlatih, pasti terdetik “Apalah gunanya aku bersusah payah untuk mempelajari semua ini”.
Jika ya, abaikan semua itu. Matlamat berlatih seni bela diri banyak, salah satunya adalah untuk sihat.
Tidak guna harta berkoyan-koyan, namun menderita kesakitan. Sebab, kekal sihat adalah salah satu perkara yang sangat ditekankan oleh Baginda Salallahu Alaihi Wasallam. Ya, bagaimana hendak beribadah dengan sempurna jika mengalami masalah kesihatan?
5-Kepimpinan
Percayalah, seni bela diri adalah medium latihan diri untuk membangunkan ciri-ciri kepimpinan kita. Masakan tidak, kita akan sentiasa dikelilingi dengan mereka yang kompetitif. Maka belajar daripada mereka.
Belajar dengan tindakan kita memimpin diri untuk sentiasa berdisiplin menjaga pemakanan dan mengurus cara hidup yang sihat. Dan mungkin juga memberi galakan dan pimpinan kepada teman-teman untuk menghidupkan sunnah Nabi agar kekal sihat dan cergas. Bukankah telah sentiasa disebutkan:
“Mukmin yang kuat itu lebih dicintai oleh Allah berbanding Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)