5 perkara tentang Liga Perdana

LONDON, 2 Jan – Pendahulu Liga Perdana, Chelsea telah menyamai rekod Arsenal dengan 13 kemenangan berturut-turut Liga Perdana dalam satu musim pada Tahun Baru, sementara skuad Manchester City kendalian Pep Guardiola terkeluar daripada empat pasukan teratas selepas tewas kepada Liverpool. Di bawah ini terdapat lima perkara yang kita pelajari dalam Liga Perdana.

Semangat juang United kukuh

Alex Ferguson meluangkan hari jadinya ke-75 tahun dengan menyaksikan Manchester United menentang Middlesbrough di Old Trafford dan bekas pasukan kendaliannya telah menghasilkan satu penghormatan terbaik bagi bekas mentor mereka.

United yang terkenal dengan kebangkitan di saat akhir di era Ferguson dan mereka sekali lagi melakukannya ketika menentang Boro, bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1 melalui jaringan dalam lewat daripada Anthony Martial dan Paul Pogba.

Cubaan kedua pemain tersebut sebelum ini terkena tiang gol, tetapi kemudian mereka berjaya menembusi gawang bagi memberikan kemenangan untuk United. Kemenangan itu juga menunjukkan perbezaan dengan persembahan hambar dalam beberapa bulan terakhir Jose Mourinho bersama Chelsea musim lepas, di mana kini pemain United berazam kuat menghasilkan persembahan terbaik bagi pengurus mereka.

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, melakukan tendangan akrobatik ketika United bangkit dalam kemenangan 2-1 ke atas Middlesbrough di Old Trafford. – AP
Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, melakukan tendangan akrobatik ketika United bangkit dalam kemenangan 2-1 ke atas Middlesbrough di Old Trafford. – AP

Ketegasan permainan Chelsea

Jika kecekalan dalam kemenangan 4-2 ke atas Stoke City membuktikan sesuatu, ia mungkin terbukti bahawa Chelsea sukar tewas kepada tekanan dalam pemburuan kejuaraan. Menjelang cubaan menyamai rekod Liga Perdana, skuad Antonio Conte telah diberikan cabaran keras oleh Stoke namun bangkit menerima cabaran itu dengan bergaya.

Dua kali pendahuluan Chelsea dibatalkan oleh pasukan pelawat. Tetapi tidak mengalahkan dengan Willian menjaringkan gol keduanya sebelum Diego Costa memastikan kemenangan Chelsea bagi menyamai rekod 13 kemenangan berturut-turut Arsenal dalam musim yang sama sebelum ini, mengekalkan kelebihan enam mata di puncak liga.

Ini mungkin tahun Giroud

Stadium Emirates dikejutkan dengan antara jaringan hebat musim ini apabila Olivier Giroud menghasilkan jaringan voli ‘kala jengking’ dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Crystal Palace. Giroud mengalami tahun 2016 yang sukar, yang mana menyaksikannya berada di bangku simpanan buat masa yang lama, apabila Arsene Wenger lebih memilih Alexis Sanchez bagi peranan penyerang tengah.

pg20_170102_a

Namun dia telah meyakinkan Wenger untuk tidak perlu mencari pengganti bagi bulan Januari ini apabila memberikan pendahuluan untuk Arsenal dengan voli ‘kala jengking’ di minit ke-17. Jaringan ketujuh Giroud itu akan menjadi antara jaringan terbaik sepanjang masa Arsenal dan memberikan peluang kepada penyerang Arsenal itu harapan baru untuk menjadikannya tahun yang mahu dikenang.

Tottenham sudah kembali

Dua kemenangan daripada lapan perlawanan liga mencadangkan Tottenham Hotspur mungkin bergelut bagi menyamai kecemerlangan mereka musim lepas. Tetapi mereka mula bangkit dengan empat kemenangan, yang terus melonjak pasukan itu ke empat pasukan teratas. Dua kemenangan terbaru mereka, 4-1 ke atas Southampton dan 4-1 ke atas Watford, telah menunjukkan kehebatan Spurs apabila berada di tahap terbaik, dengan Harry Kane menemui sasaran sebanyak tiga kali dan Dele Alli pula menjaringkan empat gol.

City masih bukan pasukan Guardiola

Pep Guardiola tidak membuang masa dalam menentukan skuad yang dimahukannya di Manchester City, menyingkirkan beberapa pemain dalam skuadnya dan menyerapkan falsafah penguasaan bola. Tetapi dengan pasukannya ketinggalan 10 mata di belakang Chelsea dalam pertengahan musim Liga Perdana dan berada di luar slot Liga Juara-Juara, dia masih belum mendapat impak yang orang ramai jangkakan.

Skuad Guardiola sebelum ini, Barcelona dan Bayern Munich menewaskan pasukan lawan dengan sepenuhnya, tetapi City bergelut melaksanakan tugas mereka dan hanya menghasilkan dua sasaran ke gawang lawan ketika menentang Liverpool pada Tahun Baru. Mereka juga mempunyai masalah besar di bahagian pertahanan. Barcelona hanya bolos dengan purata 27.25 gol semusim di bawah Guardiola dan Bayern hanya 19.3, tetapi City sudah bolos 21 gol dan hanya mempunyai empat perlawanan tanpa bolos. – AFP