5 PERKARA TENTANG TAIWAN YANG PERLU DIKETAHUI PELANCONG MUSLIM

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelancongan berkonsepkan halal semakin pesat dijalankan dan negara-negara bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah memperluaskan tumpuan mereka terhadap konsep pelancongan ini, menerima lebih banyak pelancong Muslim, termasuklah Taiwan. Pada tahun 2019, Taiwan berada di tempat ketiga oleh Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) bagi kategori negara bukan ahli OIC, satu peningkatan besar dari tempat ke lima pada tahun sebelumnya. Kini, Taiwan telah dikenali sebagai salah sebuah destinasi yang mempunyai banyak kemudahan mesra Muslim yang membolehkan pelancong menikmati pulau ini dengan selesa.

Berikut adalah lima perkara pelancong Muslim perlu tahu tentang Taiwan.

  1. Restoran dan gerai halal terdapat di Taiwan

Pada tahun 2019, terdapat lebih kurang 217 restoran dan gerai makanan yang disahkan halal di Taiwan. Oleh sebab permintaan semakin meningkat, jumlah ini telah bertambah kepada 284 pada tahun 2020. Peningkatan ini memudahkan pelancong Muslim untuk menikmati makanan di Taiwan tanpa berasa waswas.

  1. Taiwan bukan sekadar syurga teh boba

Pasti ramai yang tahu minuman bubble milk tea (teh boba) yang terkenal di seluruh dunia berasal dari Taiwan. Taiwan mempunyai pelbagai pilihan kedai teh boba yang boleh dijumpai di mana-mana sahaja dan pelancong tidak akan bosan dengan minuman ini. Malahan, warga tempatan juga amat meminati minuman teh boba ini. Selain teh boba, Taiwan juga syurga makanan yang mana makanan halalnya mudah dicari.

Antara makanan yang perlu dirasai oleh pelancong Muslim adalah mi daging lembu, tauhu busuk (stinky tofu), ais kocak mangga, ayam goreng, youtiao (dough stick) bersama susu soya, telur goreng bersama tiram dan telur berempah (iron egg).

Lebih menarik lagi, pada tahun 2019, Taiwan telah memperkenalkan mesin layan diri halal pertama yang boleh didapati di Pusat Konvensyen Antarabangsa (TICC). Terdapat 20 jenis makanan dan minuman yang ditawarkan dari mesin layan diri ini termasuklah minuman seperti cincau, teh hijau, teh susu serta makanan ringan seperti bertih jagung.

  1. Ruang solat selesa selain masjid

Taiwan komited memberikan pengalaman percutian yang tidak boleh dilupakan kepada pelancong luar terutamanya pelancong Muslim. Sebagai pulau yang bukan ahli OIC, kerajaan telah bekerjasama dengan persatuan Islam di Taiwan dan luar negara untuk memahami agama Islam dengan lebih baik. Hari ini, Taiwan mempunyai tujuh buah masjid di bandar-bandar utama seperti Masjid Besar Taipei, Masjid Kaohsiung dan Masjid Taichung.

Selain masjid, terdapat juga ruang solat yang selesa di bangunan awam dan tempat tarikan pelancong. Ruang solat ini boleh didapati di tempat-tempat seperti Muzium Istana Negara, Chiang Kai-Shek Memorial Hall, kawasan Kebudayaan Zhishan dan Taman Ecological, Taman Hiburan Kanak-kanak Taipei, Discovery Center of Taipei dan Taipei 101.

  1. Hotel mesra Muslim

Bagi kebanyakan pelancong, hotel yang selesa merupakan satu kriteria wajib. Ini termasuklah katil yang empuk, bilik mandi yang bersih, pekerja hotel yang ramah dan banyak lagi. Untuk menjadi pulau yang lebih mudah untuk pelancong Muslim, Taiwan telah menyediakan hotel mesra Muslim. Hotel-hotel ini boleh didapati di bandar utama Taiwan seperti Taipei, Taichung dan Kaohsiung. Antara kemudahan yang disediakan di hotel-hotel ini ialah bufet halal di restoran hotel, surau, perkakas dan pinggan mangkuk yang diasingkan, tanda kiblat serta senaskhah Al-Quran di dalam bilik hotel.

  1. Penduduk Taiwan peramah dan menghormati orang lain

Walaupun Taiwan merupakan pulau yang majoritinya didiami oleh penduduk bukan Islam, ia tidak mempunyai masalah untuk menerima pelancong beragama Islam dan budayanya. Ini kerana, Taiwan sendiri merupakan pulau yang mempunyai pelbagai budaya dan kepercayaan. Taiwan sering mengadakan majlis perayaan yang membolehkan penduduk tempatan dan pelancong luar meraikannya bersama, termasuklah majlis Hari Raya Aidilfitri. Penduduk Taiwan juga peramah dan suka menolong antara satu sama lain. Sehubungan itu, pelancong dapat menelusuri Taiwan dengan lebih selesa kerana keramahan penduduk tempatan.