Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    5 perusahaan tempatan teroka pasaran baharu

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Lima perusahaan makanan dan minuman tempatan di bawah Darussalam Enterprise (DARe), baru-baru ini telah menyahut peluang dan potensi pasaran baharu produk mereka semasa berlangsungnya ASEAN Trade Fair 2022 di Pusat Pameran Antarabangsa Korea e (KINTEX), Ilsan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe hari ini, perusahaan yang terpilih mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Taurean Bakeshop & Cafe; Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd; Volco Venture; Bruhouse Sdn Bhd dan Mori Enterprise yang turut melibatkan kerjasama Kedutaan Brunei di Republik Korea (ROK) dan ASEAN-Korea Centre (AKC) selaku penganjur pameran tersebut.

    Pameran empat hari bermula 7 Jun merupakan sebahagian daripada pameran perdagangan industri makanan dan minuman, Seoul Food & Hotel (SFH) 2022, yang keempat terbesar di Asia, menampilkan ribuan pempamer setiap tahun.

    Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Korea, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof berkata penyertaan perusahaan tempatan bertepatan dengan usaha meningkatkan landskap ekonomi pasca COVID.

    “Pameran pada tahun ini begitu bermakna sekali lebih-lebih lagi buat julung kalinya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanah air berpeluang mengambil bahagian secara peribadi sejak terkesan dengan pandemik COVID selama ini di mana mereka kini secara langsung dapat menyaksikan sendiri pasaran di Korea Selatan.”

    Menerusi pameran berkenaan, para pengusaha yang terlibat berkesempatan menjalin hubungan interaksi bersama bakal rakan-rakan kongsi yang berpotensi dan bersemuka dengan para pelanggan bagi meneroka sebarang peluang dalam bidang eksport. Pengasas Mori Farm, Lim Jun Hong, yang menanam dan memproses serta menghasilkan herba organik, berkata maklum balas diterima daripada pameran itu mampu menjadi faktor dalam pembangunan produk mereka untuk bergerak ke hadapan.

    “Kami mampu mengorak langkah ke hadapan dan menguji sentimen pasaran di arena antarabangsa. Ia memberi kami pengalaman yang sangat berharga dalam memahami apa yang diharapkan dan bagaimana untuk menambah baik produk kami keluar dari Brunei ke pasaran Korea Selatan,” ujarnya.

    Wakil Unit Akses Pasaran DARe, Dayang Nurul Hafezah binti Mohd Faisal Al-Sufri yang mengiringi para pengusaha ke pameran itu menjelaskan peserta akan terus menerima sokongan DARe meskipun setelah berakhirnya pameran untuk memastikan matlamat mereka tercapai.

    “Kehadiran kami di acara pameran sememangnya mewujudkan kemudahan perniagaan segera dan rundingan antara vendor Brunei dan pempamer antarabangsa. Adalah penting memaksimumkan peluang seperti ini, mencipta perkongsian dan petunjuk serius yang berdaya maju. Ini seterusnya akan membolehkan PMKS Brunei bertapak di Asia,” jelasnya.

    Pengasas Volco Venture, Awang Mohd Vol Momin semasa berkongsi produk Lanun Hotsauce kepada pengunjung pameran tersebut. – Gambar serahan DARe
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...