LILLE, Perancis, 24 Sept – Kira-kira 200 penduduk di sebuah kawasan mewah pinggir bandar di utara Perancis dipindahkan semalam selepas lima silinder gas ditemui dalam sebuah kereta, kata polis, menyangkal kemungkinan berkaitan dengan pengganas.
“Kemungkinan besar ia sesuatu yang tidak berbahaya,” kata sumber polis.
Seorang penduduk memaklumkan mengenai kenderaan mencurigakan itu kepada pihak berkuasa kira-kira jam 10:30 malam (waktu tempatan) sebelum skuad bom dikerah ke pinggir bandar Lambersart sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada hujung Ogos, sebuah konsert yang diadakan di bandar Rotterdam, Belanda telah dibatalkan pada saat-saat akhir selepas mendapat maklumat dari polis Sepanyol.
Pemandu sebuah van yang membawa beberapa silinder gas berhampiran kawasan itu telah ditangkap kemudian dibebaskan.
Pada Jun, operasi skuad bom telah dilancarkan selepas kenderaan berisi puluhan botol butana disembunyikan dalam tarpaulin yang ditemui di jabatan Isere timur Perancis. Ia kemudian didapati yang pemandunya telah mencuri daripada majikannya, sebuah syarikat pengangkutan.
Perancis berada di bawah keadaan darurat sejak kumpulan Daesh menyerang Paris pada November 2015, membunuh 130 orang. – AFP