SYDNEY, 2 NOV – Siasatan awal mengesahkan isu pagar kurungan dipercayai membolehkan lima ekor singa keluar dari kandang mereka, kata Zoo Taronga yang terletak berdekatan pelabuhan Sydney dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, singa-singa berkenaan kini telah ditempatkan semula di kawasan kandang yang selamat sementara menunggu siasatan dijalankan. Penjaga dan doktor haiwan melaporkan kelima-lima haiwan itu dalam keadaan baik.
Situasi kecemasan berlaku pada pagi Rabu apabila lima ekor singa, seekor dewasa dan empat ekor anak, ditemui di luar kandang mereka pada 6:30 pagi waktu tempatan.
Singa-singa tersebut dilihat berada di kawasan kecil bersebelahan kandang utama dengan pagar enam kaki memisahkan haiwan itu dari bahagian lain di zoo berkenaan, lapor Xinhua.
Awal hari ini, pengarah eksekutif Zoo Taronga Simon Duffy berkata ia mengambil masa kurang daripada 10 minit selepas singa keluar dari kandang utama dan tindak balas kecemasan dilakukan.
Semua orang di lokasi dipindahkan ke zon selamat. Empat daripada singa itu kembali ke kandang dengan tenang manakala seekor anak jantan selamat ditenangkan,” kata Duffy, sambil berkata keadaan terkawal, tanpa kecederaan kepada pengunjung atau kakitangan, dan semua haiwan sedang dipantau dengan teliti. – Bernama