Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Lima orang daripada golongan daif, fakir dan miskin kini mempunyai tempat tinggal yang lebih baik, selesa dan selamat untuk berteduh apabila menerima bantuan perumahan yang dibina menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Penyerahan bantuan perumahan berkenaan dibahagi kepada empat kawasan, yang bermula di rumah bantuan Haji Adam bin Haji Timbang dan Allahyarhamah Dayang Alimah binti Jamaluddin di Jalan Junjongan dan Kampung Limau Manis yang disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Seterusnya penyerahan rumah bagi Dayang Siti Rokiah binti Haji Idris di Kampung Limau Manis disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid. Rumah bagi Awang Abdul Ahad bin Haji Lampong di Kampung Lumapas pula diserahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Manakala itu, penyerahan rumah bantuan untuk Dayang Norjanah binti Haji Bakar di Kampung Limau Manis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB.
Dalam temu bual bersama media, Dayang Sakinah selaku wakil kepada Haji Adam berkata, mereka sekeluarga melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui MUIB atas bantuan yang diberikan untuknya dan ahli keluarga yang lain. Menurut beliau, rumah banglo dua bilik itu telah meringankan bebannya sekeluarga.
Beliau telah mula memohon bagi rumah bantuan berkenaan sejak 2009 dan dengan doa serta kesabaran akhirnya pihak MUIB telah meluluskan untuk pembinaan rumah berkenaan.
Manakala wakil penerima bagi Allahyarhamah Dayang Alimah, iaitu suami Allahyarhamah, Awang Limin bin Gantang, 65, memanjutkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dengan membina semula di tapak rumah lama yang mana Allahyarhamah mula memohon bantuan berkenaan sejak lima tahun yang lalu.
Beliau juga merafak sembah junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui MUIB, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan bantuan pembinaan rumah baharu berkenaan memandangkan rumah lama yang diduduki tidak lagi selamat.
Pembinaan rumah-rumah bantuan berkenaan adalah di bawah pengendalian Jawatankuasa Projek Bantuan Perumahan Golongan Daif, Fakir dan Miskin.
Skim agihan zakat bagi pembinaan rumah itu dihasratkan dapat meringankan bebanan kehidupan mereka terutama dalam menyediakan rumah yang selesa dan sempurna untuk mereka dan seisi keluarga. Selain itu, ia juga bertujuan memberikan kemudahan kepada mereka untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT di samping menyuntik lagi semangat para penerima agar terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan mereka di masa-masa akan datang, dan semoga para asnaf fakir miskin sekeluarga akan sentiasa taat menunaikan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.