Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Lebih kurang 50 orang ahli Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) telah menyertai program bedudun sempena Hari Raya Aidilfitri 2023, kelmarin.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud.
Turut hadir ialah Ketua Kampung Lambak B, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi selaku Pengerusi Berterusan, dan Naib Yang Di-Pertua 1 PERBEKAL, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof.
Bedudun atau bertandang lebih jelasnya berkunjung Hari Raya merupakan salah satu program sempena Hari Raya untuk bersilaturahim dengan ahli-ahli PERBEKAL yang berada di luar Daerah Brunei dan Muara.
PERBEKAL yang bertapak di daerah ini melebarkan keahliannya hingga ke Daerah Tutong dan Kuala Belait.
Bagi program berkenaan, kesemua ahli yang tinggal di Daerah Tutong berkumpul di Kampung Telisai di kediaman Hajah Ariah salah seorang ahli PERBEKAL.
Manakala itu, ketika berada di Kuala Belait, rombongan bertandang di kediaman Dayang Emma binti PJN Haji Abdul Rahman di Lumut.
Antara kandungan atur cara program ialah bacaan Doa Selamat dan ucapan daripada rombongan dan ahli tuan rumah, seterusnya menikmati jamuan.