50 anak yatim terima derma

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Seramai 50 orang anak yatim telah diraikan pada Majlis Penyampaian Derma dan Berbuka Puasa yang diadakan di Chill-V Restaurant, Cities Square, Berakas, hari ini.

Majlis berkenaan diadakan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama syarikat swasta dan orang persendirian iaitu Pengarah Urusan Cities Square, Dato Lai Heng Wai dan Pengiran Salleh bin Pengiran Haji Besar.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang turut menyempurnakan penyampaian derma dan cenderahati kepada anak-anak yatim.

Acara berkenaan bertujuan untuk membantu anak-anak yatim dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri serta meraih pahala dan ganjaran di bulan Ramadan yang mulia ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohd Amirol Hadi bin Haji Mohd Tajudin, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Tetamu kehormat bersama Dato Lai Heng Wai dan Pengiran Salleh menyampaikan derma kepada anak-anak yatim yang diraikan. – Gambar oleh Muiz Matdani