Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 belia terima sijil penghargaan guru sukarelawan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Seramai 50 orang sukarelawan yang mengikuti Program Penempatan Kerja Sementara sebagai ‘Sukarelawan Pembantu Guru Prasekolah Tahun 2017’ telah menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan yang diadakan di Dewan Persidangan Utama (P1), Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

    Program yang dikendalikan oleh Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (UPPAKK), Kementerian Pendidikan itu terdiri daripada lima orang siswi institusi pengajian tinggi, tiga orang lepasan pelajar Peringkat ‘A’ dan 42 orang pelajar lepasan Peringkat ‘O’ tahun 2016.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para sukarelawan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Abdul Saat bin Mokim dan diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta program.

    Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, di sini, tujuan utama program diadakan adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar yang terdiri daripada para belia untuk mengenali budaya dan konsep sukarela dengan melaksanakan khidmat bakti kepada masyarakat, yang mana ia sangat bermanfaat untuk pembangunan sahsiah dan jati diri para belia.

    Para peserta program bergambar ramai bersama Awang Zaman.

    Program ini juga menjadikan pelajar-pelajar agar lebih produktif dalam melakukan kerja-kerja amal dan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa meminta sebarang ganjaran.

    Selain itu, program penempatan ini dapat membantu membina dan memperkembangkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan.

    Kementerian Pendidikan berharap agar program ini dapat membantu pihak guru dan sekolah untuk lebih bersedia dalam menghadapi kanak-kanak pra sekolah yang baru terutama pada awal musim persekolahan.

    Dengan adanya khidmat bantu pelajar-pelajar, pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan lebih lancar, mudah dan teratur. Pengendalian program-program seperti ini juga dihasratkan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di Negara Brunei Darussalam dengan melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta dapat berdikari bagi mendukung pendidikan negara melalui aspirasi Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda