Oleh Lyna Mohamad
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Kira-kira 50 insan istimewa daripada Persatuan Orang Kurang Pendengaran Negara menyertai aktiviti rekreasi Tahun Baharu yang menyeronokkan di Tasek Tang Salangan di Kampung Tungku Katok semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada aktiviti berkenan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Mohamad Khairul Shahrul bin Haji Duahim.
Acara dua jam itu diisi dengan beberapa aktiviti rekreasi seperti berkayak dan kunjungan ke ladang Tang Salangan sementara acara kemuncak adalah pelepasan ikan ke dalam kolam serta penanaman anak pokok Kalamansi oleh tetamu kehormat.
Aktiviti rekreasi itu dianjur oleh Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara (PPDBM) sempena meraikan sambutan Hari Bertindak (DOA) serta memperingati Hari Antarabangsa Orang Kurang Upaya selain memberikan pendedahan kepada masyarakat untuk menjaga kesejahteraan individu berkeperluan khas.
Ia juga berfungsi sebagai salah satu program kemasyarakatan PPDBM dalam menjaga insan berkeperluan khas serta salah satu aktiviti kempen komuniti PPDBM untuk mengakhiri kalendar aktiviti persatuan berkenaan.
Aktiviti rekreasi berkenaan dilakukan dengan mematuhi standard operasi prosedur (SOP) dan garis panduan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan termasuk penggunaan pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.