50 kanak-kanak terima bantuan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Seramai 50 orang kanak-kanak daripada keluarga tidak berkemampuan yang berdaftar di bawah Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menerima bantuan berupa peralatan sekolah.

Kanak-kanak ini dibawa ke beberapa buah kedai oleh ahli MKM untuk membeli beg, pakaian seragam, buku, alat tulis dan baju sukan.

“Setiap kanak-kanak diberi peruntukan untuk membeli peralatan sekolah yang diperlukan sahaja,” kata Hajah Zaiton binti Salim yang merupakan salah seorang ahli MKM yang menyelia pembelian peralatan sekolah.

MKM mempunyai 160 orang pelajar terdiri daripada anak-anak golongan kurang berkemampuan dan untuk fasa pertama Projek Kembali ke Sekolah MKM menerima $12,500 dalam bentuk sumbangan.

“Kami membelanjakan sekitar $250 untuk seorang kanak-kanak, namun jumlah yang diterima setiap pelajar adalah sedikit berbeza, bergantung kepada keperluan mereka,” kata salah seorang lagi ahli MKM, Dayang Zubaidah binti Dato Abu Zar.

Selain projek kembali ke sekolah, MKM turut mengendalikan program kebajikan lain untuk mereka yang memerlukan seperti program pemakanan sekolah berupa sarapan pagi atau makan tengah hari kepada 300 pelajar yang memerlukan dari Daerah Brunei dan Muara dan Temburong, klinik nasihat undang-undang yang dibuat secara mingguan dan program menghulurkan bantuan keperluan asas makanan kepada 20 keluarga yang memerlukan.

Ahli-ahli MKM yang turut sama menyelia kanak-kanak untuk membeli peralatan sekolah.