50 kes langgar Ops pulih

Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Sebanyak 50 pelanggaran telah dikesan semasa arahan larangan keluar rumah seluruh negara yang dilaksanakan dari jam 8 malam hingga 4 pagi tadi dengan denda kompaun turut dikeluarkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan.

Menurut statistik yang dikongsikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Daerah Tutong mencatatkan jumlah tertinggi pelanggaran arahan iaitu sebanyak 21 kompaun telah dikeluarkan, di mana 15 tindakan hasil daripada sekatan jalan raya manakala enam lagi hasil daripada rondaan.

Sementara itu, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan sebanyak 15 tindakan kompaun dengan 14 lagi bagi Daerah Belait yang kedua-duanya hasil operasi rondaan. Statistik itu juga menunjukkan kompaun tertinggi diberikan pada 4 dan 5 Oktober adalah hasil daripada rondaan iaitu sebanyak 35 kompaun, manakala kompaun daripada sekatan jalan raya sebanyak 15 kompaun.

Melihat kepada statistik tersebut, Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan untuk teranah di rumah dari jam 8 malam hingga pukul 4 pagi semasa Operasi Pulih yang diadakan bermula kelmarin.

Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, semasa sidang media mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, menekankan hasil untuk mengurangkan jangkitan akan dapat dilihat dalam tempoh dua minggu Operasi Pulih dilaksanakan.

“Jika semua orang mematuhi arahan berkenaan, usaha mengurangkan kadar jangkitan akan dapat dilihat, tetapi, jika masih terdapat mereka yang ingkar akan arahan berkenaan, ia akan menyukarkan usaha itu kerana seperti yang diketahui, walaupun seseorang itu tidak mempunyai sebarang gejala, mereka masih boleh menjangkiti orang ramai serta menyebabkan penularan masih berlaku,” katanya.

Yang Berhormat Dato menyatakan harapan agar masyarakat umum akan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan demi memulihkan semula keadaan negara daripada jangkitan COVID-19.

Di samping itu, beliau mengajak orang ramai untuk berdoa agar semua pesakit termasuk yang dijangkiti COVID-19 dikurniakan kesembuhan secepatnya dan sepenuhnya.

“Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan merahmati rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Anggota polis semasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan arahan larangan keluar rumah dipatuhi, malam kelmarin. – Gambar serahan PPDB