50 korban banjir, tanah runtuh di Nepal

KATHMANDU, 14 JULAI – Banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang maut di seluruh Nepal manakala puluhan lagi hilang, kata pegawai semalam.

Timur Laut India juga telah dilanda banjir dengan 11 kematian dicatatkan ketika air sungai melimpah.

Hujan lebat sejak Khamis telah melanda beberapa daerah di Nepal terutama di rantau timur negara dan dataran selatan, yang menjejaskan ribuan penduduk.

Jurucakap polis Nepal Bishwaraj Pokharel berkata, 33 orang hilang manakala lebih 1,100 orang telah diselamatkan.

“Kami telah mengerahkan semua sumber di negara ini untuk mencari, menyelamat dan membantu dan memastikan semua kawasan yang terjejas mendapat perhatian,” kata Pokharel kepada AFP.

Pihak berkuasa berkata, paras sungai dijangka kembali normal pada Isnin.

Hujan monsun dari Jun hingga September menyebabkan kematian dan kemusnahan yang meluas di seluruh Asia Selatan setiap tahun. – AFP

Penduduk setempat membina benteng untuk menghalang limpahan sungai dekat Muzaffarpur di negeri Bihar ketika wilayah itu dilanda musim tengkujuh, kelmarin. – AFP