BANDAR MEXICO, 9 Jan – Konfrontasi bersenjata membabitkan kumpulan gengster dan jenayah dengan pasukan keselamatan mengakibatkan lebih 50 nyawa terkorban di seluruh Mexico dalam tempoh tiga hari lepas, kata pihak berkuasa semalam.
Menurut Jabatan Angkatan Laut dalam satu kenyataan, semalam tujuh lelaki bersenjata maut dalam pertempuran dengan anggota marin di Cabo San Lucas, destinasi pelancongan popular di barat negeri Baja California Sur.
Empat suspek bersenjata menyerang anggota marin yang sedang menjalankan rondaan, sebelum pertempuran sengit berlaku, menyebabkan empat suspek berkenaan maut. Tiga lagi penjenayah terbunuh dalam pertempuran berasingan.
Keganasan membabitkan kumpulan gengster meningkat di Baja California Sur, yang menyaksikan pada 20 Disember lepas, enam mayat ditemui tergantung di lebuh raya.
Tahun lepas merupakan tahun paling banyak berlakunya pembunuhan dalam tempoh dua dekad, dan permulaan 2018 nampaknya tidak menunjukkan sebarang tanda keadaan itu akan berakhir.
Kelmarin, kejadian tembakan melibatkan orang awam dan anggota pasukan keselamatan di pinggir bandar Acapulco di La Concepcion mengakibatkan 11 terbunuh, manakala enam lagi maut dalam kejadian tembak-menembak di sebuah ladang di barat negeri Colima.
Sementara itu, 32 kematian dilaporkan di negeri di sempadan Chihuahua utara. – Bernama