50 mayat ditemui dikuburkan

GUADALAJARA, 15 DIS – Sekurang-kurangnya 50 mayat ditemui dikuburkan beramai-ramai di sebuah ladang di luar bandar barat Mexico Guadalajara, kata pihak berkuasa tempatan.

Tapak mengerikan itu ditemui selepas lebih tiga minggu lalu perkara serupa dijumpai di Jalisco, antara kawasan ganas yang dikaitkan dengan jenayah terancang.

Pejabat pendakwa raya tempatan berkata semalam 12 mayat lelaki dan seorang wanita sudah dikenal pasti dan mayat mereka diserahkan kepada ahli keluarga.

“Proses mengenal pasti lebih banyak mangsa dan punca kematian akan diteruskan,” katanya. Pada 3 September lalu, 34 mayat ditemui dalam sebuah kubur besar di pinggir Guadalajara manakala satu lagi perkuburan dijumpai berdekatannya dengan 30 mayat pada Mei lalu.

Hampir 2,500 pembunuhan dilaporkan di antara Januari dan November di Jalisco, di mana kartel berpengaruh Jalisco Nueva Generacion berpangkalan, kata pihak berkuasa negeri. – AFP

Seorang kakitangan Pejabat Pendakwa Khas untuk Orang Hilang bekerja di kawasan El Mirador, Tlajomulco de Zuniga, negeri Jalisco, Mexico pada 22 November. Pejabat itu berkata 50 orang ditemui dikuburkan di Tlajomulco de Zuniga. – AFP