50 panggilan kebakaran diterima

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi tempoh Januari hingga 14 Jun 2018 telah menerima sebanyak 50 kes panggilan kebakaran rumah dan bangunan bagi seluruh daerah yang mana daripada jumlah itu sebanyak 37 kes ialah panggilan kebakaran rumah dan sebanyak 13 kes ialah panggilan kebakaran bangunan.

Menurut statistik panggilan kebakaran rumah dan bangunan JBP bagi tempoh berkenaan juga, sebanyak 38 kes kebakaran adalah di Daerah Brunei dan Muara, lapan kes di Daerah Belait, empat kes di Daerah Tutong dan tiada kes di Daerah Temburong.

Akibat daripada kejadian berkenaan, ia telah menyebabkan kerugian rumah, bangunan termasuk harta benda bernilai $1,449,860 sementara JBP berjaya untuk menyelamatkan harta benda bernilai $6,500,000.

Hasil daripada penyiasatan jabatan berkenaan, ia telah mengenal pasti pelbagai jenis punca penyebab kebakaran,

sebanyak 22 kes disebabkan elektrik, masakan ditinggalkan tujuh kes, gas bocor tujuh kes, api puntung rokok dua kes, kebakaran rumput satu kes, parunan satu kes, api lilin satu kes dan lingkaran api kemenyan satu kes.

SSFR Taib (tengah) memberikan penerangan kepada pihak media semasa Sidang Media Keselamatan Kebakaran di Bulan Ramadan dan Menjelang Hari Raya 2018 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, kelmarin.

Kesemua punca kebakaran dikategorikan sebagai kejadian kemalangan (Accidental incident). Sementara itu, punca daripada dibakar dengan sengaja iaitu perbuatan khianat atau meragukan sebanyak lapan kes yang dikategorikan sebagai incendiary incident.

Statistik juga menunjukkan bahawa dari Januari hingga 14 Jun 2018, telah mencatatkan satu mangsa terkorban dalam kejadian kebakaran.

Statistik itu didedahkan oleh Ketua Keselamatan Kebakaran, JBP, SSFR Taib bin Haji Abdul Kahar semasa Sidang Media Keselamatan Kebakaran di Bulan Ramadan dan Menjelang Hari Raya 2018 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, hari ini.

Beliau turut mendedahkan statistik panggilan kebakaran rumah dan bangunan bagi seluruh daerah sepanjang 2017 di mana JBP telah menerima sebanyak 116 kes kebakaran rumah dan bangunan dan daripada jumlah itu, sebanyak 76 kes ialah kebakaran rumah dan 38 kes ialah kebakaran bangunan.

Daripada jumlah 116 kes berkenaan, sebanyak 83 kes di Daerah Brunei dan Muara, 17 kes di Daerah Belait, 10 kes di Daerah Tutong dan dua kes di Daerah Temburong.

Akibat daripada kejadian kebakaran itu, ia menyebabkan kerugian rumah dan bangunan termasuk harta benda berjumlah $7,350,590 sementara itu, JBP berjaya menyelamatkan harta benda bernilai $3,232,000.

SSFR Taib menerangkan bahawa hasil penyiasatan pihak bomba mengenal pasti pelbagai jenis punca penyebab kebakaran iaitu bagi elektrik sebanyak 54 kes, masakan ditinggalkan sebanyak 16 kes, api puntung rokok tujuh kes, gas bocor tujuh kes, api parunan tiga kes, kanak-kanak bermain api dua kes, api lilin dua kes dan alat pengimpal, bateri vape, pembakaran bahan terbuang, kebakaran kereta dan reaksi bahan kimia, masing-masing mencatatkan satu kes.

Sementara itu, punca daripada dibakar dengan sengaja, perbuatan khianat atau meragukan ialah sebanyak 16 kes yang dikategorikan sebagai incendiary incident.

Beliau juga menerangkan bahawa sepanjang 2017, JBP telah mencatatkan dua orang mangsa yang terkorban dalam kebakaran rumah.

Terdahulu semasa sidang media berkenaan, SSFR Taib ketika menerangkan mengenai aspek keselamatan terutama bagi bangunan termasuk gedung perniagaan, restoran, dan kedai, beliau menekankan pihak pemilik bangunan dikehendaki untuk memastikan bahawa

kesemua keperluan perlindungan pencegahan dipatuhi seperti menurut garis panduan yang ada serta untuk memastikan sistem-sistem berkenaan dalam keadaan baik dan berfungsi.

Beliau juga menekankan bahawa mereka harus memastikan laluan keluar tidak dihalang dengan barang-barang dan memastikan keperluan perlindungan pencegahan kebakaran yang ada tidak dihalang dan ditutup.

Beliau menjelaskan lagi bahawa mana-mana peniaga atau pengusaha yang didapati melanggar peraturan berkenaan seperti yang terkandung dalam Perintah Keselamatan Kebakaran 2016, boleh dikenakan denda fasal 15 iaitu merosakkan sistem pencegahan kebakaran, mereka boleh didenda tidak melebihi $5,000.

Pada masa yang sama, beliau menasihati orang ramai termasuk pengusaha dan peniaga untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi menggelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini terutama pada saat-saat akhir sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBP, SO Awangku Ali Rahman bin Pengiran Haji Salleh berkata bahawa JBP menasihatkan dan mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan, leka atau lalai mengenai keselamatan dan pencegahan kebakaran sama ada di rumah kediaman atau di tempat-tempat perniagaan lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang nanti.

“Kebakaran boleh terjadi bila-bila masa tanpa memilih jenis rumah dan siapa kita sebenarnya sama ada penghuni rumah biasa atau rumah mewah, selagi ada unsur-unsur yang bertentangan dengan konsep keselamatan kebakaran, maka selagi itu kemalangan kebakaran di rumah-rumah kediaman akan terus terjadi atau meningkat,” tambahnya lagi.

Perkara itu, ulasnya lanjut, ditambah lagi dengan adanya segelintir masyarakat yang mempunyai persepsi atau sikap rasa selesa terhadap kebakaran tidak akan berlaku di kediaman mereka.

“Perkara ini akan mendorong kepada kelalaian dan tidak menitikberatkan keselamatan, adalah antara punca utama terjadinya kemalangan yang menyebabkan kebakaran.”