ASUNCION, 25 April – Seorang anggota polis maut apabila puluhan anggota kumpulan jenayah Brazil meletupkan peti besi mengandungi jutaan dolar semalam, dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai ‘rompakan abad ini’.
Kira-kira 50 penyerang yang membawa bom tangan dan senjata tentera menyebabkan bandar raya Ciudad del Este kelihatan seperti zon perang selepas serangan selama dua jam ke atas firma keselamatan dan ibu pejabat polis, kata pihak berkuasa.
Operasi bersama polis Paraguay dan Brazil yang memburu penyerang di sempadan kedua-dua negara, berhampiran air terjun Iguazu popular, membunuh tiga suspek dan berjaya melakukan sekurang-kurangnya empat tangkapan, kata Kementerian Dalam Negeri Paraguay menerusi Twitter.
Mesej Twitter menunjukkan gambar anggota polis berdiri bersebelahan mayat lelaki memakai pakaian celoreng samaran berlumuran darah. Gambar lain dalam laman Twitter kementerian menunjukkan kereta yang digunakan untuk melarikan diri ditahan polis dan koleksi peluru.

Pihak berkuasa Brazil mengesahkan berlaku pertempuran tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
“Kejadian berbalas tembakan berlaku. Ada yang mati dan cedera tetapi kami tidak boleh memberikan butiran lanjut sekarang.
“Kami masih memburu mereka,” kata sumber polis persekutuan bagi negeri Parana.
Sementara itu, Presiden Brazil, Michel Temer, menjanjikan membantu polis Paraguay dengan semua sumber yang ada. – AFP