50 sekolah daif siap hujung Ogos

KUCHING, 9 Julai – Sebanyak 50 sekolah daif di Sarawak yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk dinaik taraf atau dibaiki, akan disiapkan sepenuhnya oleh jabatan itu pada Ogos ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata ia merupakan sebahagian daripada 116 sekolah yang dikenal pasti untuk dinaik taraf atau dibaiki dan jabatan itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik walaupun ada yang terlewat dari jadual asal.

Beliau berkata sekolah selebihnya dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan.

Bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai projek-projek jabatan itu di ibu pejabat JKR Sarawak di Wisma Saberkas di sini hari ini, Baru berkata kira-kira 210 lagi sekolah daif dikenal pasti untuk dinaik taraf atau dibaiki di Sarawak selepas ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) ketika menerima kunjungan Menteri Kerja Raya, Baru Bian (tengah) di Dewan Undangan Negeri Sarawak, kelmarin. – Bernama

Menurutnya peruntukan buat 210 sekolah-sekolah daif itu mungkin akan dimasukkan di bawah bajet untuk fasa berikutnya tahun depan.

Sementara itu Baru berkata ketika ini beliau sedang meninjau semua projek-projek JKR bagi mendapatkan gambaran mengenai perkembangannya dan melihat bagaimana ia dapat dilaksanakan dengan baik mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.

Katanya kerajaan menghargai keprihatinan rakyat yang mahukan segala projek pembangunan dilaksanakan dengan segera, namun beliau perlu juga melihat segala kekangan dalam pelaksanaannya dan apa yang kerajaan boleh lakukan dalam kerangka bajet yang diperuntukkan. – Bernama