50 terbunuh bas jatuh gaung

NEW DELHI, 11 Sept – Lima puluh orang terbunuh hari ini selepas sebuah bas yang membawa penganut Hindu jatuh ke dalam gaung di selatan India dalam satu kemalangan jalan raya paling dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kemalangan jalan raya di India meragut lebih daripada 150,000 nyawa setiap tahun, di mana kebanyakan kemalangan dipersalahkan kerana jalan-jalan yang buruk, kenderaan yang tidak diselenggara dengan teratur dan pemandu yang memandu secara melulu.

Kejadian berlaku apabila bas yang membawa 80 penumpang terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari kuil terkenal Hindu Kondagattu Anjaneya Swamy di negeri selatan Telangana yang berbukit.

Kaca pecah, selipar dan bungkusan bersepah bersebelahan dengan mayat mangsa ditambah lagi dengan orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian ketika sebahagian lagi penduduk tempatan mengeluarkan mangsa yang selamat dari bas yang rosak teruk itu. Mereka kemudian membawa mangsa ke atas untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Sesetengah penyelamat masuk ke dalam bas dan yang lain cuba untuk mengambil mereka yang cedera melalui bahagian hadapan bas yang telah hancur sepenuhnya.

Orang ramai mengerumuni bas malang yang terjatuh ke dalam gaung dan meragut 50 nyawa di Jagtial, selatan India ketika beberapa orang lagi berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat. – AFP

“Lebih separuh daripada mereka yang terbunuh adalah wanita dan sekurang-kurangnya tiga orang kanak-kanak maut,” kata pegawai tempatan, G. Narendhar kepada AFP.

Penyampai berita NDTV memetik seorang saksi sebagai berkata, pemandu bas malang itu memandu terlalu laju dan hilang kawalan. Akhbar harian Hindu itu menambah, pemandu berkenaan mengambil jalan mudah pada satu sudut yang tajam.

“Kami telah mengeluarkan mayat dan membawa mereka ke hospital untuk bedah siasat,” kata seorang lagi pegawai lain, B. Rajesham kepada AFP.

Satu siasatan telah diarahkan dan Ketua Menteri Telangana, K. Chandrashekhar Rao menyatakan rasa terkejut dan mengumumkan bantuan sebanyak 500,000 rupee (AS$7,000) kepada setiap keluarga si mati. – AFP