50 terbunuh dalam pertempuran Yaman

DUBAI, 16 SEPT – Kira-kira 50 orang pemberontak dan tentera pro kerajaan, termasuk seorang pegawai kanan terbunuh dalam pertempuran di wilayah tengah Yaman, Al-Bayda, menurut sumber tentera kepada AFP hari ini.

“Mangsa termasuk seorang kolonel dan 19 penyokong setia yang terbunuh dalam 24 jam pertempuran dengan pemberontak Huthi di kawasan terbabit,” kata pegawai tentera kerajaan.

“Kira-kira 30 pemberontak juga maut dalam pertempuran serta serangan udara itu.”
Kumpulan Huthi jarang mengesahkan bilangan terkorban tetapi jumlah itu disahkan oleh sumber kementerian lain.

Sejak beberapa minggu lalu, pemberontak yang disokong Iran mara ke Al-Bayda, malah mereka juga bertempur untuk menguasai Marib di utara negeri itu.

Bagaimanapun, pertempuran itu membangkitkan kebimbangan mengenai bencana manusia kerana ramai rakyat Yaman sudah meninggal negeri itu untuk ke lokasi lain. – AFP