BANGKOK, 7 April – Hampir berpuluh-puluh serangan bom dan perbuatan membakar meletus di seluruh kawasan selatan Thailand selepas tengah malam, kata tentera hari ini, mengakibatkan bekalan elektrik terputus namun tidak adanya kemalangan jiwa di rantau itu.
Keganasan itu, yang mengakibatkan lebih 50 tiang elektrik tumbang akibat letupan bom dan tayar dibakar, hanya berlaku beberapa jam selepas Raja Thailand Maha Vajiralongkorn menandatangani piagam baru menjadi undang-undang.
“Terdapat 23 kejadian yang berlaku serentak di tiga wilayah selatan dan empat daerah Songkhla,” kata Kolonel Pramote Prom-in, jurucakap tentera untuk selatan.
Wilayah sempadan itu telah dibelenggu keganasan selama lebih satu dekad tatkala pemberontak etnik Melayu bertempur dengan tentera Thai untuk mendapatkan lebih banyak autonomi dari negeri dengan majoriti penduduk beragama Buddha.
Pertempuran telah meragut lebih daripada 6,800 nyawa – kebanyakan mereka orang awam – sejak 2004. Rantau itu merupakan salah satu daripada beberapa kawasan yang menolak perlembagaan junta dalam referendum yang melihat dokumen diluluskan pada tahun lalu.

Piagam baru itu mengawal kuasa penggubal undang-undang yang dipilih dan akan merangsang peranan tentera dalam kerajaan walaupun selepas junta meletak jawatan selepas pilihan raya yang dijangka diadakan pada akhir tahun 2018.
Bagaimanapun, Don Pathan, penganalisis Thai yang berpangkalan di kawasan selatan, berkata serangan pada hari ini nampaknya tidak dikaitkan dengan majlis menandatangani piagam.
Keganasan kemungkinan besar merupakan balas dendam atas pembunuhan dua pemberontak yang disyaki oleh anggota keselamatan pada bulan lalu, beritahunya kepada AFP.
“Terdapatnya pertambahan dalam keganasan sejak itu. Saya berpendapat malam semalam merupakan tindakan balas atas pembunuhan di luar bidang kehakiman,” kata Pathan. – AFP